Polis tumpas sindiket pengedaran dadah - Utusan Malaysia

Polis tumpas sindiket pengedaran dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah dengan menahan lima individu termasuk pasangan suami isteri yang dipercayai anggota kumpulan kongsi gelap dan merampas dadah bernilai kira-kira RM200,000 dalam serbuan di sini, 14 Januari lalu.

Serbuan tersebut dijalankan kira-kira pukul 7.05 malam oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di Jalan Thamby Abdullah Off Jalan Tun Sambanthan Brickfields di sini.

Kesemua suspek yang ditahan merupakan empat lelaki dan seorang perempuan yang berumur di antara 20 hingga 37 tahun.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, dalam serbuan itu pihak polis telah merampas dadah jenis syabu seberat 4.048 kilogram yang berada di dalam sebuah kereta Myvi.

“Dadah tersebut telah ditemui pada bahagian bawah tempat duduk penumpang yang dinaiki oleh sepasang suami isteri tersebut bersama dengan dua lagi lelaki lain.

“Salah seorang daripada penumpang Myvi itu pula adalah merupakan saudara kepada wanita berkenaan,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Tambahnya, mereka ditahan ketika sedang menunggu untuk melakukan jual beli dadah dengan seorang lagi suspek yang menaiki kereta jenis Perodua Bezza yang juga telah diberkas di lokasi yang sama.

Turut disita adalah barang rampasan daripada kesemua suspek yang bernilai RM55,300 di antaranya terdiri daripada Perodua Bezza, barang kemas, telefon bimbit juga wang tunai.

Kesemua mereka ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah selama tujuh hari bermula 14 Januari lalu hingga Isnin depan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN