SANDAKAN 17 Jan. – Operasi Jabatan Air Bahagian Sandakan bagi menyiasat kebocoran paip di Kampung Gas, Jalan Batu Sapi dekat sini hari ini membawa kepada penemuan 12 penyambungan paip air secara haram.
Jurutera Air Bahagian Sandakan Ishar Hamka Ismail berkata penyambungan haram itu berjaya dikesan dalam operasi dari pukul 9.00 pagi sehingga 12.30 tengahari, dan pihaknya turut melaksanakan tindakan pemotongan ke atas penyambungan haram dalam operasi berkenaan.
Menurutnya lima daripada sambungan haram itu dikesan disambung secara terus daripada paip simen keluli lembut (MSCL) bersaiz 100mm di dalam kawasan Kampung Gas, manakala dua sambungan haram dikesan di pili bomba di kampung itu.
“Lima lagi sambungan haram dikesan dilakukan secara terus dari paip perkhidmatan besi bergalvani (GI) bersaiz dua inci,” katanya dalam kenyataan di sini.
Ishar berkata bagi kesalahan penyambungan haram, mereka yang disabit kesalahan boleh didakwa mengikut Seksyen 49 (b) Enakmen Bekalan Air Negeri Sabah 2003, yang memperuntukkan denda sehingga RM50,000 atau penjara dua tahun jika sabit kesalahan.
Beliau berkata dalam operasi itu juga pihak Jabatan turut menyita beberapa barangan yang digunakan untuk membuat penyambungan haram berkenaan.- BERNAMA










