Henti eksport kayu balak usaha Sabah penuhi permintaan industri - Utusan Malaysia

Henti eksport kayu balak usaha Sabah penuhi permintaan industri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU 17 Jan. – Keputusan Kerajaan Negeri Sabah menghentikan eksport kayu balak merupakan langkah yang diambil bagi memenuhi keperluan industri perkayuan di negeri ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.


Menurut beliau banyak kilang kayu di negeri ini berhadapan masalah mendapatkan bekalan kayu dan terpaksa mengimport dari Semenanjung untuk meneruskan operasi kilang mereka.


“Saya tahu dalam tempoh empat hingga lima tahun lepas banyak kilang kayu ditutup yang disebabkan tiada cukup bekalan kayu dan menyebabkan 800 pekerja diberhentikan.


Namun, saya yakin ini dapat diatasi dengan dasar Kerajaan Negeri Sabah tidak menggalakkan eksport kayu balak tetapi keutamaan diberikan kepada industri perkayuan di negeri ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat dua kilang kayu di Telipok dekat sini, hari ini.


Lawatan itu turut disertai Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Hashim Paijan dan Pembantu Menteri Perdagangan dan Perindustrian negeri Azhar Matussin.


Pada Mei lepas, kerajaan negeri menghentikan sementara eksport kayu balak ke luar negara.


Mohd Shafie berkata Sabah mempunyai bekalan kayu balak yang mencukupi untuk memenuhi keperluan industri perkayuan.


Katanya beliau telah mengarahkan agensi berkaitan khususnya Yayasan Sabah dan Jabatan Perhutanan Sabah mengenal pasti spesies kayu yang industri perkayuan perlukan dan memastikan bekalan mencukupi disediakan. 


“Bekalan kayu balak yang ada di negeri ini ada lebih daripada mencukupi tetapi jangan terlalu potong sangat kerana hidupan liar khususnya gajah juga memerlukan tempat perlindungan, katanya.


Mohd Shafie berkata memenuhi bekalan untuk keperluan industri perkayuan menjadi keutamaan kepada kerajaan negeri baharu dan sedar usaha itu sedikit mengambil masa.


Menurutnya keutamaan kepada industri perkayuan ditumpukan kerana ia dapat mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat khususnya golongan muda di negeri ini. – BERNAMA 



Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×