Guru wanita dilaporkan hilang dijumpai di Kuala Kangsar - Utusan Malaysia

Guru wanita dilaporkan hilang dijumpai di Kuala Kangsar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG 17 Jan. – Seorang guru wanita Sekolah Kebangsaan (SK) Genting, Balik Pulau, Nur Farhana Ibrahim, 27, yang dilaporkan hilang sejak empat hari lalu telah dijumpai di Kuala Kangsar, Perak dalam keadaan selamat hari ini.

Difahamkan wanita berkenaan yang merupakan guru Pendidikan Islam di sekolah berkenaan dijumpai kira-kira pukul 4 petang hari ini.

Kakak ipar kepada Nur Farhana, Madihah Zawawi berkata, penemuan adik iparnya itu dimaklumkan oleh pihak polis Kuala Kangsar kepada keluarga mereka hari ini.

“Nur Farhana sekarang berada di Balai Polis Kuala Kangsar dan kami sekeluarga sedang dalam perjalanan ke sana.

“Kami amat bersyukur Nur Farhana telah dijumpai dan kami sekeluarga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu mencarinya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Guru berkenaan yang mengalami masalah kemurungan disedari hilang selepas gagal dihubungi suaminya kira-kira pukul 4.30 petang pada Isnin lalu sebelum mendapati dia tidak membawa telefon bimbit ke sekolah.

Pihak sekolah turut memaklumkan wanita tersebut mengajar seperti biasa pada Isnin, namun tidak hadir pada Selasa.

Barangan peribadinya seperti beg duit, kunci kereta dan alat tulis milik guru itu didapati masih berada di atas meja di bilik guru selain keretanya ditemui berada di luar pagar sekolah. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN