'Cuba Yussof duduk tempat kami, apa dia rasa tujuh bulan tak dapat gaji' - Utusan Malaysia

‘Cuba Yussof duduk tempat kami, apa dia rasa tujuh bulan tak dapat gaji’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR 17 Jan. – Para pemain Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) yang terlibat dalam kemelut pembayaran tunggakan gaji, meminta Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) meletakkan diri ke dalam situasi mereka terlebih dahulu sebelum menghukum apa yang dilakukan kumpulan itu.

Ketua pasukan Perlis Northern Lions 2, Ezzrul Ikmanizar Abd Rahman, 30, berkata, mereka hanya menuntut hak sebagai pemain yang mengalami tunggakan gaji yang sehingga kini sudah mencecah tujuh bulan.

Katanya, kenyataan Timbalan Presiden FAM, Datuk Yusoff Mahadi yang menyalahkan pemain kerana menuntut tunggakan gaji adalah tidak adil.

“Beliau (Yusoff) tidak rasa apa yang terpaksa dilalui pemain yang lebih tujuh bulan tidak menerima gaji.

“Cuba duduk di tempat kami… Saya rasa semua orang akan buat seperti yang kami lakukan itu (protes),” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Yussof hari ini menyelar tindakan segelintir pemain Perlis yang cuba memburuk-burukkan imej persatuan bola sepak negeri itu yang kini dalam fasa perubahan selepas kepimpinan baharu mengambil alih Oktober lalu.

Yusoff dilaporkan berkata, isu tunggakan gaji yang cuba ‘dimainkan’ oleh pemain dari Piala FAM itu sebenarnya sudah diperjelaskan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang bersedia memotong geran tahunan PFA sekiranya mereka gagal melunaskan tunggakan dalam tempoh 60 hari bermula 28 Disember lalu.

Katanya, PFA juga bersetuju dengan syarat MFL itu dan sekiranya PFA gagal, gaji mereka akan dibayar menerusi geran itu.

Sebelum itu, Utusan Malaysia melaporkan nasib dialami oleh 18 orang pemain Singa Utara yang diibarat gantung tidak bertali kerana masih belum menerima tunggakan gaji seperti dijanjikan PFA.

Apa yang menyedihkan, sepanjang tempoh itu, mereka mendakwa terpaksa meneruskan hidup bekerja sebagai nelayan, buruh kasar dan berniaga kecil-kecilan. Kesemua pemain berkenaan sepatutnya mene­rima tunggakan gaji antara empat hingga tujuh bulan. Ia berdasarkan kontrak yang ditandatangani mereka berkuat kuasa 1 Disember lalu.

Tambah Ezzrul, sepatutnya Yussof membela pemain yang teraniaya dan bukan dengan menyalahkan mereka.

“Sejujurnya para pemain langsung tidak mempunyai niat untuk memburuk-burukkan pihak pengurusan, sebaliknya kami hanya menuntut hak kerana sudah tidak mampu menampung kehidupan akibat kekangan kewangan.

“Kami bukan sengaja minta tetapi sememangnya sudah terdesak. Wang simpanan semuanya sudah habis bagaimana kami hendak lapor diri dan menjalani latihan di Kuala Lumpur.

“Hendak tunggu duit geran tahunan untuk membayar gaji pemain kira-kira dua bulan lagi adalah satu tempoh yang lama. Kalau kami mampu, kami takkan minta walaupun sememangnya menjadi hak kami,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×