PELABUHAN KLANG – Sebanyak 100 buah kilang memproses plastik kitar semula yang beroperasi secara haram di seluruh negara akan ditutup menjelang Mac ini.
Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Yeo Bee Yin berkata, sasaran itu adalah petunjuk prestasi utama (KPI) yang telah ditetapkan oleh pihaknya kepada Jabatan Alam sekitar dalam memerangi kilang plastik haram di negara ini.
Menurut beliau, setakat ini sebanyak 52 buah kilang plastik haram telah berjaya ditutup menerusi 61 operasi dilakukan pihaknya.
“Baki sembilan buah kilang lagi itu apabila kita masuk (membuat serbuan) mereka telah menutup operasinya atau lari (meningggalkan kilang masing-masing).
“Setakat ini, semua 61 laporan yang kita terima berkenaan kilang haram di negeri ini telah berjaya ditutup. Kita tahu banyak lagi kilang haram di negeri ini dan operasi menggempur kilang-kilang tersebut akan dilakukan sehingga semuanya berjaya ditutup,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa operasi penguatkuasaan bersepadu kilang kitar semula plastik di sekitar Kawasan Perindustrian Telok Gong di sini.
Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Datuk Dr. Ahmad Kamarulnajuib Che Ibrahim.
Tambah Bee Yin, sehingga kini pihaknya telah mengesan 97 buah kilang plastik haram di seluruh negara iaitu 61 buah di Selangor, Negeri Sembilan (10), Kedah (10), Perak (7), Johor (6) dan satu di Kelantan.
“Selepas ini, kita akan ke Kedah untuk melakukan operasi seperti hari ini bagi memastikan semua kilang haram ini ditutup sepenuhnya,”jelasnya.
Dalam pada itu, beliau memberikan amaran kepada pengusaha kilang kitar semula plastik yang berlesen supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa.
Ujarnya, ini berikutan terdapat 20 daripada 48 premis yang mempunyai lesen di Selangor telah diambil tindakan berikutan gagal mematuhi Akta Kualiti Alam Sekitar.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan, pihaknya telah mengeluarkan 39 kertas siasatan berhubung kilang plastik haram yang beroperasi di negeri ini.
“Malah, sebanyak tiga kes telah selesai di mahkamah yang mana kesemua individu terbabit telah di dakwa dan dikenakan hukuman penjara dan denda keseluruhannya bernilai RM229,000.
“Justeru, kita tidak akan teragak-agak untuk mengenakan tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu yang membuka kilang haram dan kepada premis yang mempunyai kelulusan permit( AP) diingatkan supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan,” tegasnya. – K! ONLINE











