KUALA LUMPUR 4 Dis. – Yayasan Sukarelaan Siswa (YSS) di bawah Kementerian Pendidikan dengan kerjasama beberapa negara ASEAN telah menganjurkan Misi Sukarelawan Siswa selama 17 hari di Semporna, Sabah bermula 19 November lalu.
Menurut Pengerusi YSS, Datuk Zuraidah Atan, seramai 130 mahasiswa dari pelbagai institut pengajian tinggi (IPT) yang terpilih melalui temuduga telah menyertai program persediaan tiga hari bagi memastikan mereka mempunyai pemahaman yang cukup untuk melaksanakan misi tersebut.
“Misi dua minggu yang berakhir esok ini melibatkan mahasiswa dari universiti awam dan swasta, institut pendidikan guru (IPG), politeknik dan kolej komuniti. Turut serta adalah mahasiswa dari Laos dan Vietnam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Zuraidah memberitahu, misi itu memfokuskan kepada enam kluster aktiviti iaitu Kluster Pendidikan; Kluster Perubatan dan Kesihatan; Kluster Pembangunan Komuniti, Kluster Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dan Keusahawanan Sosial; Kluster Agribio dan Alam Sekitar serta Kluster Pengurusan Krisis dan Bencana.
Beliau berkata, sebanyak enam buah kampung telah terpilih dalam program khidmat bakti itu antaranya Kampung Kubang Pinang, Kampung Kabongan, Kampung Tunggolangan dan Kampung Pegagau.
“Tahun ini sahaja, YSS menjalankan lima misi besar dalam dan luar negara melibatkan 474 sukarelawan mahasiswa tempatan, negara ASEAN dan China. Misi ini akan diakhiri dengan Program Pembangunan Kepemimpinan Sukarelawan (VLDP) pada 12 Disember ini,” kata beliau.
Menurut Zuraidah, misi tersebut antara lain membawa sukarelawan mahasiswa ke Kabupaten Belitung Timur, Indonesia; Luang Prabang, Laos dan Vietnam. – UTUSAN ONLINE










