PUTRAJAYA 21 Dis.- Lebih 500 menyertai Solidariti Himpunan Suara Ummah #Justice4Adib bagi mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy meletak jawatan.
Perhimpunan yang diadakan di Dataran Putra, Presint 1 di sini selepas solat Jumaat itu dianjurkan oleh Gerakan Pembela Ummah (Ummah) bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain.

Laungan ‘Allahuakbar’ oleh orang ramai mengisi himpunan itu sebagai tanda solidariti kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim yang terkorban ketika bertugas di rusuhan kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya.

Perhimpunan yang diketuai Pengerusi Ummah, Aminuddin Yahaya itu berhimpun di Dataran Putra terlebih dahulu sebelum berarak ke Bangunan Perdana Putra bagi menyerahkan memorandum.

Difahamkan, isu kandungan memorandum berkenaan antara lain bagi mendesak Waytha Moorthy meletak jawatan selepas gagal memainkan peranan sewajarnya dalam menjaga perpaduan masyarakat di negara ini. – UTUSAN ONLINE










