UMNO Kedah kukuh, 'lompatan' proses pemutihan - Utusan Malaysia

UMNO Kedah kukuh, ‘lompatan’ proses pemutihan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KEDAH 21 Dis. – UMNO Kedah tetap kukuh dan tidak goyah walaupun parti itu kini berdepan dengan situasi segelintir kepemimpinan dan beberapa ahlinya yang bertindak keluar parti.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, UMNO menganggap tindakan melompat keluar itu sebagai antara proses pemutihan parti dengan hanya meninggalkan ahli yang benar-benar setia kepada perjuangan UMNO.

“Bagi pihak UMNO negeri Kedah, kita melihat bahawa lompatan ini (keluar parti) merupakan proses pemutihan kepada UMNO. Saya menghubungi bahagian itu (Langkawi) dan mereka maklumkan mereka tetap utuh, maka tak timbul langsung uar-uar yang menyatakan UMNO Langkawi akan bubar dan sebagainya.

“Bahkan mereka semakin kukuh sebab secara tidak langsung kita sudah dapat membuat proses pemutihan di peringkat bahagian,” katanya ketika ditemui selepas menziarahi keluarga Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim di Kampung Tebengau, di sini.

Semalam, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hangat, Datuk Mohd. Rawi Abd. Hamid mengumumkan keluar UMNO, tetapi tidak menyertai mana-mana parti lain buat masa ini namun menyatakan sokongan kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Dalam perkembangan berkaitan, Jamil Khir menafikan terdapat pemimpin-pemimpin sayap Pemuda dan Puteri di negeri ini serta ketua-ketua bahagian yang kononnya akan turut meninggalkan UMNO.

“Itu dakwaan tidak berasas yang sengaja dibuat untuk tujuan psikologi dan sebagainya, bahkan kita pada masa sama ketika pengumuman itu duduk berbincang di peringkat bahagian-bahagian,” ujarnya.

Sementara itu, beliau berharap keadilan yang sewajarnya harus diberikan terhadap kes melibatkan Allahyarham Muhammad Adib yang perlu diterjemahkan kepada tindakan sepatutnya.

“Ini bukan soal balas dendam, rasis atau bermusuhan dengan sesiapa tapi kita sebagai sebuah negara yang berpegang keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang maka wajar ia ditegak supaya dilihat sebagai tindakan dan keadilan khusus kepada peristiwa yang berlaku,” katanya.

Ketika ditanya desakan rakyat supaya Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P. Waytha Moorthy berundur, Jamil Khir berkata, kerajaan perlu memantapkan agenda perpaduan kaum di negara ini dengan segera menyelesaikan isu berbangkit terhadap apa yang berlaku kepada Muhammad Adib.

“Kalau lambat diambil tindakan, ia memberi kesan terhadap keluarga Muhammad Adib itu sendiri, sekali gus akan menyebabkan keyakinan penterjemahan kepada perpaduan itu semakin runtuh. Ia perlu dibuktikan dalam bentuk tindakan dan bukan ucapan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN