KUALA LUMPUR – Aku lama lagi di sini dan tolong doakan agar kesihatan aku akan bertambah baik.
Itu antara nota tulisan tangan kiriman Pelakon Lelaki Terbaik Anugerah Skrin 1996 dan 2003, Benjy yang kini sedang menjalani hukuman penjara di Medan, Indonesia sejak tahun lalu atas kesalahan dadah.
Luahan sedih Benjy atau nama sebenarnya Khaeryll Benjamin Ibrahim, 40, itu didedahkan oleh Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi yang berkesempatan melawat pelakon tersebut di Penjara Tanjung Gusta, Medan baru-baru ini.
Menceritakan penderitaan yang dialami Benjy, Zed Zaidi mengakui bahawa tahap kesihatan pelakon itu berada dalam keadaan teruk.
Menurutnya, Benjy yang juga anak kepada Allahyarham Seniwati Azean Irdawaty Yusoef kini sedang menderita penyakit asma dan kesukaran untuk bernafas selain sukar untuk mendapatkan akses rawatan serta kos perubatan.
“Dia meminta agar orang ramai mendoakan kesihatannya di sana demi meneruskan kehidupan.
“Penderitaan Benjy diluahkan dalam satu nota bertulis tangan,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Tabung Prihatin Seniman dan Seniman Run 2.0 di sini semalam.
Jelasnya, dalam nota tersebut, Benjy menulis; ‘Aku lama lagi kat sini. Jadi tolong doakan yang kesihatan aku jadi lebih baik. Aku kena sihat untuk terus hidup di sini. Doakan segala usaha aku untuk pulang dipermudah.’
Zed Zaidi memaklumkan, lawatannya bersama ahli jawatankuasa Seniman dilakukan pada 15 hingga 17 Disember bagi melihat sendiri keadaan Benjy.
“Sewaktu bertemu, dia memeluk kami dengan erat. Dia memberitahu, itulah kali pertama diziarahi kenalan dari Malaysia.
“Dia tidak boleh bersembang. Sekejap batuk, sekejap menangis. Saya lihat keadaan kesihatannya memang serius walaupun daripada raut wajahnya kelihatan tenang,” katanya.
Beliau berkata, siri lawatan tersebut telah mencetuskan idea kepada Seniman untuk melancarkan tabung bertujuan menampung keperluan Benjy sepanjang menjalani hukuman.
Menegaskan bantuan berkenaan lebih bersifat kemanusiaan, Zed Zaidi berkata, Benjy memerlukan antara RM500 hingga RM600 sebulan khas untuk kos perubatan.
“Kami akan lihat dan kaji kaedah pemberian sumbangan ini kelak. Kami berharap dapat terus membantu Benjy sepanjang menghabiskan baki hukumannya,” katanya.
Benjy menjalani hukuman penjara selama 11 tahun di Tanjung Gusta, Medan, Indonesia selepas ditahan sewaktu berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kualanamu, Sumatera Utara, Indonesia pada April 2017 kerana memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 4.5 gram.










