KOTA BHARU – Seorang remaja lelaki lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) maut selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan di Lebuh Raya Kota Bharu – Kuala Krai, dekat Perol, di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, dalam kejadian pukul 5 petang itu, mangsa, Amirul Hakimie Sabri ,18, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
“Kejadian berlaku apabila motosikal Honda EX5 yang ditunggang mangsa dari arah Perol menghala ke Pasir Hor hilang kawalan lalu melanggar besi penghadang di sebelah kiri jalan.
“Kemalangan itu menyebabkan mangsa terjatuh ke atas jalan. Mangsa yang tinggal di Kampung Serdang Surau, Melor parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Abdul Rahim berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian untuk bedah siasat.
Katanya, kemalangan itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE











