KOTA BHARU 21 Dis. – Kerajaan Persekutuan dan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) masih belum menerima sebarang notis rasmi mengenai penarikan balik saman oleh Kerajaan Pas Kelantan berhubung tuntutan royalti petroleum negeri ini yang difailkan di mahkamah pada 2011.
Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin berkata, sejak keputusan menarik balik saman itu diumumkan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, Oktober lalu, kerajaan Pusat dan Petronas masih menunggu perkara itu disahkan secara rasmi.
Sehubungan itu katanya, apabila isu royalti dibangkitkan pelbagai pihak termasuk di Dewan Negara semalam, beliau memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai sebarang tindakan susulan Pusat buat masa ini.
“Walaupun Menteri Besar sebelum ini telah memaklumkan kepada umum bahawa kerajaan negeri memutuskan untuk menarik balik saman terhadap Petronas dan kerajaan Persekutuan namun sehingga kini kita tidak terima sebarang notis.
“Kita masih menunggu maklumat terkini dan sekarang belum ada pengesahan rasmi saman itu sudah ditarik balik. Oleh yang demikian untuk berlaku adil, biarlah saya tidak mengulas dulu (perkembangan terkini isu royalti),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menyempurnakan Program ‘Back To School’ anjuran Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Mokan, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Perkhidmatan Pelanggan TNB Kelantan, Muhamad Azli Ab. Rahim.
Dalam program tersebut, TNB Kelantan memperuntukkan sebanyak RM40,000 bagi menyediakan set kelengkapan persekolahan merangkumi uniform, kasut dan beg sekolah kepada 200 murid sekolah rendah di seluruh Parlimen Ketereh.
Pada 24 Oktober lalu, Mesyuarat Majlis Kerajaan Kelantan membuat keputusan untuk menarik balik saman terhadap dua defendan, Kerajaan Pusat dan Petronas selepas mengambil kira kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa royalti kepada semua negeri terlibat termasuk Kelantan akan dijelaskan.
Dalam perkembangan lain, Mohd. Radzi yang juga Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, masyarakat wajar berhenti mengaitkan mana-mana wakil rakyat UMNO yang mengumumkan keluar parti baru-baru ini dengan Bersatu.
“Sekarang, mereka hanya keluar UMNO tapi tidak sebut pun mahu sertai Bersatu, tapi masyarakat sudah buat persepsi kononnya mereka akan menyertai Bersatu
“Bersatu sekarang dilihat seolah-olah akan menerima siapa-siapa sahaja dari UMNO sedangkan Tun Dr. Mahathir Mohamad sudah sebut, kita ada mekanisme sendiri untuk meneliti sebarang permohonan dari bekas pemimpin UMNO yang mahu sertai Bersatu,” katanya. – UTUSAN ONLINE










