SAUDARA PENGARANG,
PERBADANAN Putrajaya (PPj) merujuk kepada artikel bertajuk Tandas Putrajaya Sentral Jijik yang diterbitkan dalam Utusan Malaysia pada 20 Disember 2018.
Pertama sekali, walaupun pengurusan Putrajaya Sentral adalah di bawah syarikat swasta, Pengangkutan Awam Putrajaya Travel and Tours Sdn. Bhd. (PAPTTSB), PPj

memandang serius perkara yang dibangkitkan penulis yang menyatakan pada 14 Disember lalu tandas lelaki di Putrajaya Sentral kotor kerana ini memberi imej negatif kepada Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya.
Siasatan pihak PPj pada 20 Disember (semalam) mendapati keadaan tandas di Putrajaya Sentral adalah dalam keadaan bersih dan diselenggara. Namun PPj mendapati beberapa unit tandas yang memerlukan pembaikan.
Menurut pihak PAPTTSB, gambar hiasan yang dipaparkan bukanlah di dalam bangunan Putrajaya Sentral. Tandas-tandas di bangunan Putrajaya Sentral mempunyai pekerja pembersihan sepanjang masa. Pada 14 Disember lalu, tiada masalah ketiadaan air seperti yang dilaporkan oleh penulis.
Sebagai inisiatif memastikan kebersihan tandas di Putrajaya Sentral adalah pada tahap yang memuaskan, pihak PPj akan memantau secara berkala keadaan di tapak.
Sebarang aduan berkaitan Putrajaya Sentral boleh disalurkan ke PAPTTSB di talian 03-88618906 atau Biro Pengaduan Awam di www.pcb.spab.gov.my.
TENGKU AINA TENGKU ISMAIL SHAH
Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat PPj










