PUTRAJAYA – Pelan Anti Rasuah Nasional 2019-2023 (NACP) yang memperincikan usaha kerajaan menangani rasuah serta usaha menangani isu governans, integriti dan antirasuah secara menyeluruh akan dilancarkan pada 31 Januari tahun depan.
Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, antara intipati pelan berkenaan adalah rangkuman beberapa perkara dasar dan elemen penting termasuk manifesto kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam memerangi rasuah.
“NACP juga dirangka selepas mengambil kira laporan yang dikemukakan pihak jawatankuasa semakan yang dilantik oleh Pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC).
“Ia antara asas kepada penyediaan NACP selain mengambil kira cadangan Jawatankuasa Pembaharuan Institusi (IRC) untuk dikaji dan dimasukkan ke dalam NACP,” katanya.
Abu Kassin berkata demikian dalam taklimat media berkenaan Laporan Pencapaian Akhir Tahun Usaha-usaha Memerangi Rasuah di Malaysia Jun-Disember 2018 di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull dan Timbalan Ketua Pengarah GIACC, Datuk Dr. Anis Yusal Yusoff. – Bernama










