KOTA BHARU 4 Dis. – Pas mengucapkan terima kasih kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur serta Ketua Polis Kuala Lumpur kerana memberikan kebenaran kepada Penganjur Himpunan Rakyat Tolak ICERD untuk mengadakan perhimpunan aman membantah membantah ratifikasi konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangs Bersatu (PBB) itu pada 8 Disember ini.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, justeru, pihaknya memberi akujanji akan memastikan seluruh peserta himpunan yang akan diadakan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur itu mematuhi arahan penganjur dan pihak keselamatan pada setiap masa.
“Sehubungan dengan itu sekali lagi Pas menyeru semua rakyat tanpa mengira fahaman politik, bangsa dan agama untuk turut serta dalam menzahirkan pendirian membantah Ratifikasi ICERD dan lain-lain konvensyen seumpamanya.
“Ini demi memelihara kerukunan dan keharmonian masyarakat selaras dengan peruntukan-peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










