Mayat remaja hilang ditemukan terapung - Utusan Malaysia

Mayat remaja hilang ditemukan terapung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH 21 Dis. – Seorang remaja lelaki yang dikhuatiri hilang selepas keluar menjala ikan di Kuala Sungai Baru ditemukan mati lemas di perairan Tanjung Dahan dekat sini semalam.

Mayat Khairul Azhar Aziz, 19, yang sebelum itu keluar menjala ikan di pesisiran pantai Kuala Sungai Baru sejak kelmarin ditemukan sekumpulan nelayan kedudukan 0.4 batu nautika di perairan Tanjung Dahan pada pukul 11.35 pagi.

MAYAT
MAYAT seorang remaja yang ditemukan nelayan selepas hilang ketika keluar menjala ikan di perairan Tanjung Dahan, dekat Kuala Sungai Baru di Alor Gajah, Melaka semalam.  – UTUSAN ONLINE/Ihsan Maritim Malaysia

Nelayan terbabit kemudian segera memaklumkan penemuan mayat itu kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka/Negeri Sembilan untuk kerja-kerja membawa naik mayat mangsa.

Pengarah Maritim Malaysia Melaka/Negeri Sembilan, Kepten Maritim Amran Daud berkata, mayat mangsa berjaya diangkat dan dibawa ke Jeti Pelabuhan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia di Pusat Transformasi Luar Bandar Kuala Linggi pada pukul 12.12 tengah hari.

“Pusat operasi menerima laporan daripada nelayan mengenai penemuan mayat tersebut dan sekumpulan anggota digerakkan ke lokasi untuk membawanya naik.

“Beberapa minit selepas itu satu laporan kehilangan seorang remaja telah diterima dan kami percaya laporan tersebut mempunyai kaitan dengan penemuan mayat terbabit,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Katanya, pengecaman telah dilakukan oleh ibu mangsa dan mengesahkan bahawa mayat tersebut merupakan anak bongsunya yang hilang selepas keluar rumah kira-kira pukul 10 pagi kelmarin. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN