ALOR SETAR 4 Dis. – Kerajaan negeri akan membantu membawa pulang jenazah Allahyarham Rizq Azzadin Mohd. Azhar, 32, yang meninggal dunia akibat lemas di Australia untuk dikebumikan di tanah air.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, Pejabat Menteri Besar akan bekerjasama dengan Wisma Putra untuk menguruskan penghantaran pulang jenazah anak sulung daripada empat beradik itu.
“Kerajaan negeri bersimpati dengan kepayahan yang dihadapi oleh keluarga Allahyarham, terutamanya untuk menanggung kos membawa pulang jenazah.
“Kami akan membantu untuk membawa pulang jenazah bagi dikebumikan sama ada di kampung halamannya di Parit Panjang, Baling atau di Sungai Buloh, Selangor,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan sebuah keluarga merayu bantuan orang ramai untuk membawa pulang jenazah Rizq Azzadin yang dilaporkan lemas di Sungai Colo, Sydney, Australia kira-kira pukul 9 pagi waktu Malaysia, Ahad lalu.
Tambah Mukhriz, keluarga Allahyarham juga telah dimaklumkan tentang hasrat Pejabat Menteri Besar untuk membantu menguruskan penghantaran pulang berkenaan. – UTUSAN ONLINE










