ALOR SETAR – Kerajaan negeri Kedah akan menanggung kos bagi membawa pulang jenazah pemuda, Rizq Azzadin Mohd Azhar, 32, yang meninggal dunia akibat lemas di sebatang sungai di Burwood Road, Belmore, Australia Ahad lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, pihaknya bersimpati dengan kepayahan dihadapi keluarga mangsa dan membuat keputusan untuk membantu membawa pulang jenazah ke Malaysia.
“Kita akan menanggung kos untuk membawa pulang jenazah bagi disemadikan di kampung halamannya di Parit Panjang, Baling dekat sini atau di Sungai Buloh, Selangor,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, Pejabat Menteri Besar akan bekerjasama dengan Wisma Putra untuk menguruskan penghantaran balik jenazah.
“Keluarga Allahyarham telah dimaklumkan mengenai hasrat Pejabat Menteri Besar Kedah untuk membantu mereka,” ujarnya.
Keluarga mangsa sebelum ini merayu sumbangan orang ramai bagi membawa pulang jenazah Rizq Azzadin yang melibatkan kos kira-kira RM30,000. – K! ONLINE










