TIMBALAN Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah telah bertitah agar warga Malaysia terutamanya yang diamanahkan sebagai pemimpin tidak menjadi dalang mahupun melakukan provokasi sehingga boleh menyalakan api kebencian serta mencetus permusuhan antara rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini.
Titah baginda lagi, amatlah mendukacitakan apabila suasana harmoni yang telah sekian lama menjadi amalan budaya hidup majoriti rakyat di negara ini, mahu dimusnahkan semata-mata disebabkan persaingan politik.
Titah baginda itu memang tepat pada masanya dan dipetik secara meluas oleh portal berita dan beberapa akhbar tempatan. Titah itu juga dipercayai ada kaitannya dengan keprihatinan Tuanku terhadap insiden yang berlaku di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, meskipun kejadian itu tidak ada kaitannya dengan persengketaan kaum dan agama.
Pengalaman di beberapa tempat di dunia menunjukkan bahawa persengketaan agama amat bahaya, merupakan permainan zero-sum game dan tidak ada tolak ansur sama sekali.
Justeru, cadangan Perdana Menteri agar pihak berkuasa tempatan (PBT) memperkenalkan peraturan atau undang-undang berhubung dengan pembinaan tempat ibadat, wajar dilaksanakan segera agar insiden kuil Hindu tidak berulang lagi dan sebagai langkah pencegahan.
Namun, apa yang lebih utama ialah setiap penganut agama-agama di negara ini perlu bersedia untuk patuh terhadap peraturan atau undang-undang yang diperkenalkan. Ini perlu untuk memastikan objektif mengekalkan keharmonian beragama dapat dicapai sejajar Perkara 3(1) dan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.
Sejak akhir-akhir ini timbul kebimbangan bahawa penyebaran maklumat atau mesej tidak sahih melalui media sosial juga didapati boleh menjejaskan keharmonian demokrasi.
Media sosial pada abad ke-21 yang disalahgunakan tidak ubah seperti mesin cetak Johannes Gutenberg pada pertengahan abad ke-15, yang bukan hanya membawa kepada Reformasi di Eropah, tetapi perang agama yang menyusulinya.
Robert D. Kaplan dalam bukunya Warrior Politics: Why Leadership Demands a Pagan Ethos, pernah mengingatkan bahawa kejahatan dan kecelakaan pada abad ke-21, mungkin juga bangkit daripada gerakan populis, mengambil kesempatan daripada pendemokrasian, dirangsang kali ini oleh kepercayaan agama dan sektarian atau taifah serta diperkasa Revolusi pasca-Perindustrian, terutamanya teknologi maklumat untuk menyebarkan mesej.
Kaplan yang pemikirannya dianggap setaraf Samuel Huntington, Francis Fukuyama, dan Paul Kennedy, merujuk fenomena yang sama berlaku di India, Indonesia, Iran, Nigeria, Algeria, Mexico, Fiji, Mesir, Pakistan, Tebing Barat, dan Arab Nazareth.
Ini sekadar menyebut beberapa buah tempat yang kumpulan agama dan etnik, kebanyakannya kelas pekerja yang dirangsang oleh pendemokrasian, menggunakan teknologi komunikasi moden untuk mencetuskan kekacauan.
Berdasarkan hakikat itu, para pemimpin, ahli politik, dan setiap lapisan rakyat sepatutnya menghargai keharmonian yang diwujudkan dan dikecapi selama ini dengan mengambil iktibar daripada pengalaman beberapa negara yang terjebak dalam persengketaan kaum dan keharmonian yang musnah, sehingga ada negara mengalami Balkanization.
Sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini, nescaya kita semua akan menanggung akibatnya. Pastinya, tidak ada satu pihak pun yang menang, sebaliknya semuanya kalah. Menang jadi arang, kalah jadi abu.
DATUK MOHD. NIZAR SUDIN ialah pensyarah kanan di Universiti Putra Malaysia (UPM).










