Food Bank daripada pembaziran kepada manfaat rakyat - Utusan Malaysia

Food Bank daripada pembaziran kepada manfaat rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIDAK sampai sebulan memegang jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), DATUK SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL telah memulakan langkah pertamanya berkhidmat untuk rakyat dengan menubuhkan program Food Bank Malaysia demi membantu mereka yang terpaksa ‘mengikat perut’ demi sesuap nasi.

Program yang dilihat sebagai serampang dua mata itu bukan sahaja memberi sinar dalam kehidupan rakyat, malah mampu menyelamatkan berjuta-juta tan makanan yang masih baik, daripada terbazir begitu sahaja.

Menerusi temubual bersama Sembang Online Utusan Malaysia semalam yang disertai wartawan, MAISARAH SHEIKH RAHIM dan ASYRIQ FAHMY AHMAD beliau menceritakan kejayaan program yang telah dimulakan di Pulau Pinang lebih setahun lalu itu bakal digerakkan di seluruh negara dengan kerjasama 430 jenama pasar raya yang bersedia menyalurkan lebihan makanan untuk dimanfaatkan masyarakat.

UTUSAN: Apa sebenarnya maksud Program Food Bank Malaysia?

SAIFUDDIN NASUTION: Program ini adalah satu usaha untuk mengumpulkan lebihan makanan dan kemudian diagihkan kepada penerima yang dikumpulkan dari pasar raya besar, pasar raya, dapur-dapur hotel, restoran, kilang-kilang yang menghasilkan barang makanan. Setiap hari ada saja lebihan makanan yang tidak terjual seperti sayur, buah, kek atau roti.

Kilang-kilang pengeluar makanan biskut contohnya, ada antaranya yang tidak ikut spesifikasi untuk dijual seperti biskut itu pecah dan sebagainya tetapi masih lagi boleh dimakan dan mereka asingkan sebagai lebihan makanan.

Kita mengagihkan kepada golongan asnaf, orang miskin, ibu tunggal, OKU, anak yatim, warga emas atau pusat pengajian tahfiz, sekolah berasrama dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Data rasmi kumpulan isi rumah yang menunggu adalah seramai 190,000 keluarga. Tetapi kita tidak terikat dengan data ini saja tetapi turut melibatkan jawatankuasa masjid, jawatankuasa kampung atau wakil rakyat.

Adakah program ini sudah digerakkan?

Model program ini saya telah mulakan di Pulau Pinang, manakala lain-lain negeri masih bertaraf projek perintis seperti di Johor, Sabah, Kelantan, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan dan Melaka.

Kami berharap pada Januari nanti kita boleh gerakkan di seluruh negara kepada kalangan yang memerlukan.

Saya melihat model program ini seperti dibangunkan di Perancis selain di Singapura, Jepun, Amerika Syarikat (AS), Britain. Dan saya cuba padankan di sini melalui bantuan Food Aid Foundation yang pernah berbuat demikian ketika bencana banjir besar di Kelantan.

Yayasan ini beroperasi secara sederhana dengan menggabungkan sukarelawan dan mengagihkan makanan kepada 147 rumah kebajikan di Wilayah Persekutuan.

Selepas itu saya mulakan di Pulau Pinang dengan menubuhkan Mutiara Food Bank dan memperoleh dana daripada kerajaan negeri. Kami bukan hanya mengumpul makanan kering tetapi makanan lebihan di hotel-hotel melalui perjanjian dengan Persatuan Tukang Masak yang melatih para sukarelawan bagaimana untuk mengendalikan makanan yang telah dimasak supaya sihat dan tidak tercemar.

Setakat ini berapa ramai yang berjaya disumbangkan dan berapa tan makanan diagihkan?

Kita telah menyelamatkan hampir 945 matrik tan makanan dalam tempoh sebulan. Sebenarnya angka ini masih kecil lagi jika dibandingkan dengan laporan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), anggaran makanan yang masih lagi baik untuk dimakan tetapi terbuang ialah sebanyak 3,000 juta matrik tan sehari.

Dan sejak program ini dilancarkan, lebih 20,000 telah menerima manfaat seperti penduduk orang asli di Johor, rumah PPR di Wangsa Maju yang diagihkan dengan kerjasama persatuan setempat.


Bagaimana kekangan undang-undang dari pihak pengeluar untuk menyumbang makanan?

Program seumpama ini belum ada satu undang-undang jelas untuk mengawal tidak seperti negara dunia lain yang lebih awal menjalankannya. Ini amat penting untuk menjaga kepentingan penyumbang dan menentukan garis panduan kepada penerima dan dijelaskan peranan penggerak program ini.

Ini kerana banyak syarikat bertaraf dunia mempunyai kebimbangan untuk mengikut serta program ini kerana jika berlaku kes keracunan, dibimbangi penerima akan saman pengeluar walaupun pada asalnya untuk membuat kebajikan. Jadi kita bercadang satu rang undang-undang berkaitan boleh dibentangkan pada penghujung tahun depan.


Bagaimana kalau ada pihak yang sangsi untuk menerima yang dikatakan ‘sisa makanan’?

Pihak kami memberi jaminan makanan yang dikumpulkan masih segar, cuma polisi pasar raya besar kadang-kadang perlu dilupuskan makanan itu walaupun masih baik. Buktinya, selepas dimulakan sejak 1 Mei 2017 di Pulau Pinang, 25,000 keluarga telah menerima manfaat. Dan sepanjang tempoh itu sehingga sekarang kita tidak menerima satu pun aduan makanan yang diagihkan itu tercemar.

Kami juga amat gembira banyak persatuan yang mahu memberikan sumbangan sama ada dari segi kesukarelawan, keupayaan dana atau dari sudut kelengkapan untuk bergerak.

Oleh itu pihak kementerian telah menubuhkan sebuah Yayasan Food Bank Malaysia sebagai ‘kenderaan’ untuk menggerakkan usaha ini ke seluruh negara dan mana-mana pihak yang mahu memberikan sumbangan perlu didaftarkan di bawah yayasan ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN