GUA MUSANG – Mereka yang memiliki saman tertunggak berpeluang menyelesaikannya pada kadar diskaun 50 peratus sempena Hari Bertemu Pelanggan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang pada 22 hingga 23 Disember ini.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd. Taufik Maidin berkata, sebanyak enam kaunter dibuka di hadapan IPD itu untuk tempoh dua hari tersebut bagi memberi kemudahan kepada mereka yang berada di daerah ini.
Katanya, pihaknya menyediakan kaunter yang akan beroperasi dari pukul 9 pagi hingga 4 petang untuk memudahkan orang ramai melakukan semakan dan membayar saman.
“Tawaran diskaun ini merangkumi semua jenis kesalahan trafik kecuali saman kemalangan, saman berstatus tiada kompaun (NC), saman OP Selamat tahun 2018, saman berstatus mahkamah dan saman berkaitan lori.
“Kita berharap orang ramai yang mempunyai saman hadir bagi membuat pembayaran. Oleh itu, saya harap mereka yang memiliki saman tertunggak tidak melepaskan peluang ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mohd. Taufik berkata, selain pembayaran dan semakan saman, turut diadakan sesi dialog, pameran Jabatan Siasatan Jenayah, narkotik, trafik, kereta peronda polis (MPV) dan Skuad Aman Wanita (Amanita).
Tambahnya, pendaftaran Volunteer Smartphone Patrol (VSP) yang merupakan inovasi baharu pihak polis bagi membantu orang awam menyalurkan maklumat tentang jenayah juga turut diadakan. – K! ONLINE










