Bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM dipanggil esok? - Utusan Malaysia

Bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM dipanggil esok?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 4 Dis.- Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan dipanggil ke ibu pejabat suruhanjaya tersebut berhubung siasatan pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysian Development Berhad (1MDB) esok.

Menurut sumber, Tan Sri Dzulkifli Ahmad dijangka tiba di Ibu pejabat SPRM kira-kira pukul 9 pagi.

“Beliau diminta hadir bagi membantu siasatan berhubung dakwaan kes tersebut.

“Beberapa individu lain juga dijangka dipanggil dalam masa terdekat ini,” katanya, di sini hari ini.

Pada 25 November lalu, Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr. Madinah Mohamad mendedahkan, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan pindaan dilakukan terhadap Laporan Akhir Pengauditan 1MDB menerusi pengguguran beberapa perenggan.

Antara pengguguran maklumat itu termasuklah membabitkan kehadiran ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dalam mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB.

Menurut Madinah, antara individu yang turut terbabit dalam pindaan itu termasuklah bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Shukry Salleh; bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Ali Hamsa; bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang; bekas Ketua Pegawai Eksekutif dan Kumpulan 1MDB, Arul Kanda.

Turut terlibat, wakil Jabatan Peguam Negara, wakil Kementerian Kewangan, bekas Setiausaha Sulit Kanan kepada KSN dan bekas Pengarah Audit. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN