KUALA LUMPUR 20 Sept. – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak kemungkinan isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor akan berdepan dengan beberapa pertuduhan di mahkamah.
Bagaimanapun Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki enggan memberikan sebarang maklumat mengenai bila dan apa pertuduhan yang akan dikemukakan terhadap isteri Ahli Parlimen Pekan itu.
“Akan ada pertuduhan (terhadap Rosmah), saya tidak tolak kemungkinan itu. Tetapi saya tidak mempunyai maklumat,” katanya dalam sidang akhbar di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini hari ini.
Sebelum ini, akhbar tempatan berbahasa Inggeris melaporkan Rosmah, 66, kemungkinan berdepan lebih 20 pertuduhan jenayah dalam tempoh terdekat.
Dalam sidang akhbar tersebut, Azam juga tidak menolak kemungkinan lebih banyak pertuduhan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan dikemukakan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak.
Tanpa mengulas lanjut mengenai pertuduhan itu, beliau menjelaskan, setakat ini empat pertuduhan bersama telah dikemukakan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Ini kali pertama dalam sejarah SPRM dan PDRM berkoordinasi menjalankan siasatan.
“Saya tidak menolak akan ada lagi pertuduhan yang akan dilakukan secara bersama,” katanya.
Terdahulu bekas Presiden UMNO itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap empat pertuduhan yang dikemukakan SPRM melibatkan salah guna kedudukan sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion.
Azam menjelaskan, siasatan yang dijalankan bersama PDRM itu melibatkan pengesanan aset 1MDB di luar negara.











