KUALA LUMPUR 20 Sept. – Jualan Gudang Halfest Giant Super Berbaloi yang merupakan antara tarikan pada penganjuran ekspo halal terbesar Malaysia, Halfest Giant dijangka dapat menarik sehingga 100,000 pengunjung pada kali ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Shapers Malaysia Sdn. Bhd., (Shapers) Datuk Mohd. Shukri Abdullah berkata, jualan gudang berkenaan akan menawarkan harga terendah produk-produk halal bagi membantu pengguna menangani peningkatan kos sara hidup.
Beliau berkata, dengan kos sara hidup yang saban hari meningkat, pengguna kini perlu mencari alternatif lain untuk berbelanja dan Shapers melihat kerjasamanya dengan pasaraya besar Giant adalah satu kerjasama menang-menang bagi semua pihak.
“Ekspo kali ini sasarannya adalah bagi memberi lebih banyak peluang kepada peniaga dan pembeli mengenali produk-produk halal selain menawarkan produk harian pada harga yang jauh lebih murah di pasaran,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Halfest Giant 2018 akan berlangsung di Pusat Pameran Mines (MIECC), Seri Kembangan pada 26 hingga 30 September ini dan akan dibuka kepada orang ramai pada jam 11 pagi hingga 9 malam.
Ekspo halal terbesar di Malaysia yang memasuki edisi ketujuh itu menyaksikan penyertaan Giant sebagai penganjur bersama bagi memastikan acara tahunan itu dianjurkan dengan lebih baik pada tahun ini.
Mohd. Shukri berkata, Halfest berperanan menjadi platform bagi usahawan, terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mempromosikan produk dan perkhidmatan halal di pasaran negara ini.
“Melalui Halfest kita mahu ‘menegarakan’ produk Malaysia terutamanya produk halal keluaran PKS dan kami berharap peniaga-peniaga di luar sana dapat merebut peluang ini bagi meluaskan jaringan perniagaan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata Halfest Giant 2018 akan menampilkan kira-kira 500 peniaga dalam pelbagai industri antaranya makanan dan minuman (F&B), kosmetik dan penjagaan diri, farmaseutikal halal dan perbankan serta pelaburan Islamik.
Tahun lalu Halfest menjana nilai dagangan dan jualan sebanyak RM185 juta daripada 512 gerai jualan dan 471 syarikat.










