Gelanggang pertarungan - Utusan Malaysia

Gelanggang pertarungan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 20 Sept. – Pemilihan PKR yang berlangsung di empat negeri iaitu Pulau Pinang serta Kedah pada Sabtu ini dan dite­ruskan di Perlis dan Perak pada Ahad menjadi gelanggang pertama pertembungan antara calon daripada dua kem iaitu kem Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Rafizi Ramli.

RAFIZI RAMLI

Seramai 171,427 ahli akan mengundi calon-calon untuk mengisi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) iaitu Timbalan Presiden, Naib Presiden, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat, Ketua Wanita Pusat dan Ahli Majlis Pimpinan Pusat.

Sejak awal kempen pemilihan berlangsung, Rafizi yang menawarkan diri bertanding jawatan Timbalan Presiden dilihat mengambil langkah berani berbanding Mohamed Azmin dengan mengumumkan ahli-ahli PKR yang berada dalam kem beliau.

Rafizi membariskan empat nama yang bersamanya untuk menduduki jawatan Naib Pre­siden iaitu Ahli Parlimen Permatang Pauh yang juga anak sulung Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nurul Izzah; Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul; Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen dan Ahli Parlimen Sungai Siput, S. Kesavan.

MOHAMED AZMIN ALI
MOHAMED AZMIN ALI 

Selain itu, turut berada dalam kem Rafizi ialah Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh sebagai calon Ketua Wanita dan Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir yang akan bertanding kerusi Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK).

Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid yang mencetuskan kontroversi kerana mendakwa Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad cuba menghalang peralihan kuasa kepada Anwar turut berada di dalam kem Rafizi.

Hanya selepas calon-calon kem Rafizi rancak berkempen, barulah calon-calon daripada kem Mohamed Azmin antaranya, calon Naib Presiden, Zuraida Kamaruddin; calon Ketua Pemuda PKR, Dr. Afif Bahardin dan Timbalan Ketua Pemuda PKR, Hilman Idham mula menonjolkan diri.

Rafizi seperti diketahui umum sentiasa melontarkan hujah-hujah panas ketika kempen pemilihan berlangsung sehingga tercetusnya isu yang mendakwa Mohamed Azmin sebagai pe­mimpin yang tidak reformis.

Malah seorang lagi calon kem Rafizi, Nik Nazmi Nik Ahmad turut menyerang Mohamed Azmin dengan mendakwa beliau cuba mengganggu penubuhan Pakatan Harapan beberapa tahun lalu.

Walau bagaimanapun perlu diingatkan, Mohamed Azmin juga bukan sekadar pemimpin biasa-biasa di dalam PKR, lihat sahaja pendakian tangga politik yang dinikmati oleh Mohamed Azmin sehingga diberi kepercayaan memegang jawatan Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Bermula sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) biasa, Mohamed Azmin mendapat kurniaan istimewa menerusi Langkah Kajang yang dicipta Rafizi apabila berjaya menduduki kerusi Menteri Besar Selangor.

Sentimen sokongan ahli di Utara tanah air juga dikatakan seimbang antara kedua kem ini, jadi adakah pertarungan awal Sabtu dan Ahad ini akan memihak kepada Rafizi yang dikatakan direstui oleh Anwar walaupun dinafikan oleh Presiden PKR itu berbanding Mohamed Azmin?

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×