CCRC di Sabah bakal ditambah - Utusan Malaysia

CCRC di Sabah bakal ditambah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANGGAR – Kementerian Dalam Negeri bercadang untuk menambah lebih banyak Pusat Penyembuhan, Rawatan dan Pemulihan (CCRC) di bawah kendalian Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di negeri ini pada masa akan datang.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd. Azis Jamman berkata, cadangan penambahan CCRC di negeri ini dijangka melibatkan kawasan di pantai timur, sekitar Kota Kinabalu dan penempatan khusus pemulihan penagih wanita.

Menurut Mohd. Azis, setakat ini Sabah hanya mempunyai sebuah CCRC di Kimanis yang menempatkan kira-kira 400 penagih biarpun kapasiti maksimum di pusat pemulihan hanya mampu menampung seramai 250 penghuni dalam satu masa.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kementerian akan membawa perkara ni kepada pengetahuan pihak kerajaan untuk meluluskan peruntukan terhadap penambahan CCRC di bawah seliaan AADK di Sabah.

“Setakat ini kita difahamkan Sabah hanya mempunyai satu CCRC dan jumlahnya telah melebihi kapasiti iaitu seramai 400 penghuni berbanding kapasiti asal seramai 250 penghuni sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam operasi Ops Khas Adu AADK negeri di sekitar Parlimen Sepanggar yang tamat pukul 2 pagi hari ini.

Turut hadir Pengarah Penguatkuasaan dan Keselamatan merangkap Komander Pasukan Special Tactical Response & Investigation Key Enforcers (STRIKE) AADK, Zainudin Abdullah, Pengarah AADK Sabah, Bakri Bibi dan Ketua Penguatkuasa AADK Kota Kinabalu, Lawrance Galleh.

Lokasi tumpuan adalah kawasan tumpuan penagihan dadah antaranya di Kampung Gudon; Kampung Tebobon dan Kampung Rampaian Laut di Sepanggar serta beberapa kawasan sekitar Putatan dan Kota Kinabalu.

Operasi selama dua hari itu melibatkan tangkapan seramai 40 suspek berusia antara 15 hingga 34 tahun dengan 36 daripada suspek disahkan positif dadah.

Empat suspek diserahkan kepada polis kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini