Alif Satar sasar sertai Ironman Dunia - Utusan Malaysia

Alif Satar sasar sertai Ironman Dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM kesibukannya memenuhi rutin karier seni, penyanyi dan pengacara, Alif Satar mencuri tumpuan peminat apabila menyertai sukan triatlon sempena penganjuran Triatlon Antarabangsa Port Dickson 2018 yang berlangsung Julai lalu.

Acara sukan tersebut mensyaratkan peserta menyertai tiga disiplin berlainan iaitu berenang, berbasikal dan larian jarak jauh secara berterusan.

Selepas ini, pengacara berusia 28 tahun itu bakal menyertai acara yang lebih besar iaitu Ironman Langkawi yang bakal berlangsung pada November depan, sekali gus menjadikan dia artis pertama yang menyertai sukan ekstrim tersebut.

Namun, ada yang lebih mengujakan. Sasaran Alif adalah melayakkan diri pada acara triatlon dunia menerusi penganjuran Ironman Dunia di Hawaii tahun depan.

Ikuti temu bual bersama pengacara program It’s Alif! itu ketika ditemui pada majlis pelancaran A Lifestyle Privilege Card yang berlangsung baru-baru ini.

KOSMO!: Boleh Alif jelaskan sedikit tentang pelancaran A Lifestyle Privilege Card ini?

ALIF SATAR: Pelancaran kad ini menyaksikan saya melangkah dalam bidang perniagaan menerusi syarikat A&A Premier Lifestyle Services. Selama 12 tahun berada dalam industri, ini merupakan kali pertama saya terbabit dalam bidang perniagaan. Menariknya, ia bukan sekadar kad tambah nilai biasa kerana menerusinya, pembeli ditawarkan pelbagai diskaun, perkhidmatan dan produk yang bersesuaian dengan gaya hidup seharian.

Pada usia 28 tahun, anda sudah mengecapi banyak kejayaan dalam bidang seni dan perniagaan. Jadi anda sudah puas dengan segala pencapaian ini?

Sejujurnya, sudah tentu saya mahu lebih lagi tetapi ia bukan tentang diri sendiri, cuma apa yang lebih penting adalah bagaimana untuk menjadi inspirasi kepada orang ramai. Seperti contohnya dalam industri, saya sebenarnya mewakili perkara yang lebih besar daripada diri sendiri. Sasaran saya adalah untuk jadi lebih versatil dan berbeza supaya orang boleh ikut. Mesejnya sampai kepada orang ramai untuk menjadi lebih baik daripada kita.

Baru-baru ini anda ada menyertai sukan triatlon. Boleh jelaskan lanjut tentang penyertaan tersebut?

Jawapan soalan ini ada kaitan dengan pertanyaan terdahulu. Tatkala saya sudah melakukan semua bidang dalam industri, jujur ada perasaan mahu lebih daripada itu tetapi sesuatu yang berbeza. Disebabkan dahulu saya pernah menyimpan impian untuk bergelar atlet dan sememangnya saya seorang yang aktif bersukan, jadi saya jelmakannya menerusi penyertaan dalam acara ini. Malah, ia juga cara saya mengurangkan kerinduan untuk melakukan aktiviti yang berdaya saing dan tidak pernah dilakukan sebelum ini.

Jadi bagaimana pengalaman anda menyertai sukan seperti itu?

Sangat menyeronokkan sebab selepas tamat, ia memberi satu kepuasan kepada saya walaupun hakikatnya sukan ini begitu sukar. Bukan fizikal semata-mata tetapi lebih terhadap mental. Namun, apa yang lebih penting, ia bukan sekadar tentang sukan tetapi saya mahu menyebarkan manfaat gaya hidup sihat dan kesihatan. Malah, sewaktu menyertai acara ini, saya dapat lihat komuniti yang menyertainya sangat harmoni.

Dari sekecil-kecil peserta sehingga kepada yang tua, semuanya bersatu dan saling membantu. Saya juga mengharapkan sukan ini dapat sokongan daripada Kementerian Belia dan Sukan. Cuma pada hari itu saya agak terkejut kerana ada peserta yang meninggal dunia ketika program berlangsung. Biarpun cuak pada awalnya tetapi saya ajar diri untuk fokus dan percaya kepada kemampuan diri untuk menamatkan saingan.

Apa persediaan anda untuk sertai Ironman Langkawi dan Ironman Dunia kelak?

Untuk menyertai Ironman Dunia, persediaannya memerlukan masa setahun. Sebab itulah saya bermula dengan acara kecil-kecilan seperti di Port Dickson tempoh hari. Bagi penyertaan di Langkawi pula, jarak keseluruhan melibatkan tiga acara iaitu berenang, berlari dan berbasikal sejauh 113 kilometer.

Jadi ia memerlukan saya menghabiskan masa selama empat jam untuk latihan basikal, berenang dan berlari pada setiap Isnin dan Khamis. Malah pola pemakanan saya juga berubah kerana sukan ini memerlukan stamina yang sangat tinggi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN