BEKAS pemain No. 5 dunia, Low Wee Wern mendapat hadiah awal paling berharga sempena hari jadinya yang ke-27 tahun (25 Julai) apabila menjuarai Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia menewaskan pilihan keempat, Satomi Watanabe dengan straight-set pada perlawanan akhir semalam.
Pemain kelahiran Pulau Pinang yang mara ke final daripada pusingan kelayakan, menampilkan aksi cemerlang di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur untuk menundukkan pemain Jepun itu 11-8, 11-7, 11-4 dalam masa hanya 30 minit.
Ketika ditemui pemberita selepas perlawanan, Wee Wern berkata, dia tahu Watanabe akan menjadi pencabarnya sejak semalam (kelmarin) dan telah menjangka perlawanan akhir tidak akan mudah dan perlu turun habis-habisan.
“Namun, hari ini (semalam) saya sangat gembira kerana berjaya mengatasi cabaran dengan baik. Saya membuat beberapa perubahan sejak tewas pada Kebangsaan Malaysia awal bulan ini dan ia ternyata berhasil.
“Memang selesa untuk bertarung dengan pemain yang telah biasa beraksi. Kami berlatih bersama-sama di Pulau Pinang dan dia memang pemain yang cukup berbakat dan banyak bergerak, tetapi saya sedikit lebih berpengalaman daripada Satomi (Watanabe),” katanya.
Kejayaan itu merupakan kemenangan kelapan dalam karier Wee Wern dan kali terakhir dia meraih kejuaraan ialah pada Terbuka China 2014.
Sementara itu, dalam kategori lelaki, pemain Qatar, Abdulla Mohd. Al Tamimi meraih gelaran sulung Terbuka Malaysia selepas menumpaskan pemain Hong Kong, Tsz Fung Yip 5-11, 12-10, 11-1, 7-11, 11-5 dalam masa 52 minit.
“Ia memang sukar untuk beraksi dalam peringkat suku akhir, separuh akhir dan akhir, jadi saya telah membuat segala persiapan,” katanya.
Sebagai juara, Wee Wern dan Abdulla membawa pulang hadiah, masing-masing AS$2,346.50 (RM9,534.66) dan AS$5,866.25 (RM23,831.64). – Bernama










