Ujian sebenar skuad Felda United - Utusan Malaysia

Ujian sebenar skuad Felda United

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JUARA Liga Premier 2018, Felda United akan membuat persiapan awal untuk menghadapi kempen Piala Malaysia berikutan aksi yang kurang konsisten dipamerkan oleh anak-anak buah B. Sathianathan itu dalam mengharungi saingan liga.

Sathianathan berkata, beliau agak kecewa melihat corak permainan yang ditonjolkan para pemain selepas mencatat keputusan seri 2-2 ketika menerima kunjungan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka kelmarin.

“Ini adalah salah satu masalah bagi kami kerana pemain gagal beraksi dengan cemerlang apabila kita perlukan kemenangan terutama di tempat sendiri.

“Kita dikejutkan dengan dua gol awal oleh PDRM dan ia me­nunjukkan kelemahan ketara di bahagian benteng pertahanan sehingga gawang dibolosi de­ngan mudah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan trofi Liga Premier dan pe­nyampaian pingat kepada semua pegawai serta pemain Felda United di stadium berkenaan.

Menurutnya, ketiadaan Mohd. Syukor Adan di bahagian pertahanan memberi kesan kepada pasukannya apabila pemain itu direhatkan pada separuh masa pertama sebelum dimasukkan pada babak kedua untuk menggantikan Nor Fazley Alias.

“Jentera serangan kita juga kurang menyengat apabila gagal memanfaatkan banyak peluang yang terhidang di depan gol pa­sukan lawan,” ujarnya.

Beliau memberitahu, pemain perlu mengubah corak permainan untuk beraksi pada kempen Piala Malaysia tidak lama lagi kerana mereka bakal berdepan pasukan dari Liga Super.

“Sasaran awal saya adalah fokus kepada aksi kumpulan terlebih dahulu kerana tidak tahu pasukan mana yang akan kita lawan nanti. Persiapan awal perlu dilakukan bermula sekarang,” jelasnya.

Tambahnya, semua pemain tidak boleh dibuai mimpi setelah mendakap trofi Liga Premier untuk layak ke saingan Liga Super musim depan sebaliknya mereka perlu terus memberi fokus di atas padang dengan corak permainan yang lebih baik.

“Saya harap aksi longlai se­perti malam ini (kelmarin) tidak berlaku lagi dan semua pemain perlu sedar saingan Piala Malaysia adalah ujian sebenar mereka untuk berdepan pasukan yang lebih hebat,” katanya.

Pada perlawanan kelmarin, PDRM mendahului tuan rumah menerusi dua gol mudah jari­ngan Mohd. Arif Mat Asin pada minit pertama dan ke-21.

Jaringan tersebut tidak melemahkan semangat pemain tuan rumah apabila berjaya menya­makan kedudukan menerusi sepakan penalti Thiago Augusto pada minit ke-35 dan Gilberto Fortunato (m-51).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN