WASHINGTON 22 Julai – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menafikan sebarang pembabitan dalam skandal membabitkan pembayaran hak cipta sebuah artikel mengenai hubungan sulitnya dengan seorang bekas model Playboy, Karen McDougal.
Skandal berkenaan didedahkan oleh bekas peguamnya, Michael Cohen yang secara rahsia merakamkan perbualan antara mereka kira-kira dua bulan sebelum pilihan raya Presiden pada 2016.
Trump menerusi Twitter miliknya menegaskan perbuatan peguam terbabit merakamkan perbualan dengan klien adalah tidak sah di sisi undang-undang.
Bagaimanapun, peguam bela kepada Cohen menyifatkan kenyataan Trump sebagai ‘palsu’.
“Tidak dapat dibayangkan, kerajaan sanggup memecah masuk ke dalam pejabat peguam pada awal pagi, itu sesuatu yang jarang kita dengar.
“Malah lebih teruk, seorang peguam sanggup merakam perbualan dengan anak guamnya, sesuatu yang jarang berlaku dan mungkin adalah salah. Berita baiknya ialah Presiden kegemaran anda tidak melakukan sebarang kesalahan,” kata Trump.
April lalu, Biro Siasatan Persekutuan (FBI) menyerbu pejabat Cohen dan merampas rakaman tersebut.
McDougal mendakwa menjalinkan hubungan sulit dengan Trump pada 2006 dan pemimpin berkenaan cuba membayarnya untuk melakukan hubungan seks.
Sementara itu, kisah hubungan sulit Trump itu dijual kepada akhbar The National Enquirer sebanyak AS$150,000 (RM609,372) kira-kira sebulan sebelum Cohen mengadakan perbincangan dengan pemimpin tersebut.
Namun, kisah mengenainya tidak pernah disiarkan kerana pengerusi syarikat induk akhbar terbabit iaitu American Media merupakan rakan baik Trump. – REUTERS










