JOHOR BAHRU 22 Julai – Saranan Barisan Nasional (BN) supaya kerajaan negeri mengambil alih syarikat air SAJ Ranhill Sdn. Bhd. (SAJ Ranhill) disifatkan hanya sengaja mahu menimbulkan isu.
Ini kerana, menurut Menteri Besar, Datuk Osman Sapian, beliau belum ada mendengar sebarang tawaran daripada SAJ Ranhill yang mahu menjual syarikat tersebut, tetapi BN tiba-tiba meminta kerajaan negeri mengambil alih.
“Dengan formula apa itu kita nak ambil alih SAJ…kalau hari ini SAJ ada tawarkan sekian, sekian, kita boleh fikirkan dan boleh sambut sebab mereka sendiri nak jual, tapi ini kita tidak dengar apa pun.
“Mereka suruh kita ambil balik SAJ…kita nak tengok kemampuan kita, keduanya sama ada SAJ nak jual ke tidak, kalau kita nak tapi SAJ tak nak jual, tak dapat juga walaupun kita ada kemampuan.
“Jadi, kita kena buat kajian, mesti ada perundingan baru dapat satu ketetapan. Cakap memang mudah, ambil balik SAJ, tapi formulanya macam mana,” katanya diminta mengulas saranan BN negeri baru-baru ini yang meminta kerajaan negeri mengambil alih SAJ Ranhill yang didakwa memberi lebih manfaat kepada rakyat untuk jangka masa panjang berbanding hanya memberikan 10 meter padu air percuma kepada golongan yang layak.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas ditemui selepas melawat pejabat Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), di sini kelmarin.
Yang turut hadir, Ketua Eksekutif IRDA, Datuk Ismail Ibrahim.
Osman yang juga Pengerusi Bersama IRDA turut mempersoalkan keperluan untuk mengambil alih SAJ Ranhill sedangkan sekarang ini bekalan air yang disalurkan mencukupi, malah Empangan Kahang juga akan dibuka selain kerajaan negeri akan membina Loji Rawatan Air (LRA) di situ.
Katanya, LRA itu akan dibina menggunakan dana sebanyak RM50 juta daripada Tabung Warisan Negeri, tabung royalti air.
“Empangan ada tapi tak ada loji rawatan…kenapa kerajaan negeri dahulu tak rancang betul-betul, ini yang kadang-kadang kita nak cakap pun susah…mereka tergopoh-gapah buat empangan dan sekarang kita pula nak kena cari idea macam mana nak buat loji.
“Jadi, kerajaan negeri akan keluarkan duit sendiri untuk bina LRA di Empangan Kahang kerana kalau kita beri pada pihak swasta takut nanti mereka dah keluarkan belanja tinggi, tarif air akan dinaikkan pula,” katanya.










