MANCHESTER – Pemain muda Manchester City, Leroy Sane mengakui dia telah diberi penjelasan oleh Joachim Low selepas jurulatih skuad Jerman itu membuat keputusan untuk tidak meletakkannya dalam senarai 23 pemain pada kempen Piala Dunia 2018 yang lalu.
Sebagai rekod, Sane mengharungi tahun terbaiknya dalam kancah Liga Perdana England (EPL) selepas meledak 10 gol dan mencipta 15 peluang kepada rakan-rakan sepasukan The Citizens musim lalu.
Namun, keputusan Low menyingkirkan Sane nyata membawa padah susulan kempen hambar juara Piala Dunia edisi 2014 itu apabila tersingkir pada peringkat kumpulan.
“Saya telah berbincang dengan jurulatih (Low) dan terpaksa menerima keputusan tersebut. Ini kerana alasan yang diberikan cukup positif buat saya.
“Apa yang lebih penting buat saya adalah untuk memandang ke depan. Skuad Jerman gagal beraksi dengan baik kerana tersingkir pada peringkat kumpulan dan kami semua perlu membantu memulihkan maruah pasukan,” katanya.
Sementara itu, Low mengakui sudah memiliki perancangan dan persiapan untuk pasukannya kembali bangkit pada kempen kejohanan Euro 2020 dan Piala Dunia 2022 di Qatar.
“Kami telah menilai kelemahan pada kempen Piala Dunia yang lalu. Saya harap mentaliti pemain kini berubah sepenuhnya kerana kami telah lama berada dalam zon selesa.
“Perubahan corak permainan mungkin tidak terlalu ketara tetapi kami akan cuba terapkan taktikal yang boleh bersaing dengan bola sepak moden ketika ini,” katanya. – Agensi










