Pengaliran keluar dana asing dari pasaran ekuiti berkurangan - Utusan Malaysia

Pengaliran keluar dana asing dari pasaran ekuiti berkurangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 22 Julai – Pengaliran keluar dana asing dari pasaran ekuiti tempatan adalah terkawal dan semakin berkura­ngan, kata penganalisis dan pe­merhati pasaran di Malaysia.

ADAM MOHAMED RAHIM

Menurut Penganalisis MIDF Amanah Investment Bank Bhd., Adam Mohamed Rahim, jajaran penjualan bersih asing kekal di bawah RM200 juta sejak 2 Julai hingga 13 Julai lepas, kecuali pada 6 Julai yang menyaksikan pengaliran yang cukup tinggi iaitu sebanyak RM393.6 juta, selepas tarif ke atas import China oleh Amerika Syarikat (AS) mula berkuat kuasa.

Bagi minggu yang baru berak­hir kecuali Jumaat, aktiviti penjualan asing berada di bawah RM100 juta bersih kecuali pada Rabu, yang mana pasaran tempatan telah menyaksikan aliran masuk seba­nyak RM71.7 juta bersih.

Oleh itu, jumlah keseluruhan jualan minggu tersebut kecuali Jumaat berada pada RM182.5 juta bersih berbanding RM531.8 juta yang dicatat pada minggu lepas, katanya.

MOHD. AFZANIZAM
MOHD. AFZANIZAM

“Melangkah ke hadapan, kami menjangkakan pengaliran keluar asing masih boleh dikawal dan jika tiada sebarang cabaran lain, para pelabur asing ini akhirnya akan kembali ke pasaran Malaysia secara berperingkat-peringkat,” katanya.

Bursa Malaysia telah merekodkan aliran kenaikan sejak 10 hari lepas tetapi akhirnya susut akibat aktiviti pengambilan keuntungan pada Jumaat lepas.

Adam melihat bahawa sebahagian besar daripada sokongan ini datang daripada dana institusi tempatan, yang agresif dalam mendapatkan saham-saham domestik selama hari tujuh berbanding sembilan hari semasa peningkatan aliran baru-baru ini.

“Amaun bersih yang dikum­pulkan oleh dana institusi da­lam tempoh sembilan hari itu mencecah sehingga RM636.9 juta bersih manakala pelabur-pelabur asing merupakan penjual bersih dengan nilai sebanyak RM714.3 juta,” katanya.

Sejak PRU yang menyaksikan pertukaran kerajaan, para pelabur asing telah menarik keluar seba­nyak RM10.8 bilion bersih manakala minggu yang merekodkan penjualan asing bersih ter­tinggi adalah minggu yang berakhir 19 Mei, yang merekodkan aliran keluar sebanyak RM2.5 bilion.

Bagaimanapun, jika diban­ding­kan dengan tiga pasaran ASEAN lain iaitu Thailand, Fili­pina dan Indonesia, aliran keluar Malaysia adalah kedua terendah selepas Filipina iaitu dari tahun sehingga tarikh pada 19 Julai 2018 dengan catatan sebanyak AS$2.06 bilion atau RM8.24 bilion.

Thailand mempunyai aliran keluar terbesar iaitu sebanyak AS$6.19 bilion.

Adam berkata, aliran keluar asing di rantau ini terus akan disumbang oleh faktor luaran khususnya, kebimbangan ke atas perang perdagangan AS-China yang menjadi punca utama sebab-sebab ekuiti di seluruh dunia menjadi tidak menentu.Selain itu, isu Brexit dan sekitar dasar AS ke atas Korea Utara yang terkait dengan penghapusan sepenuhnya senjata nuklear di Semenanjung Korea serta dasar-dasar kewangan global, turut menyumbang kepada ketidaktentuan pasaran.

PONG TENG SIEW
PONG TENG SIEW

Ketua Penyelidikan Inter-Pacific Securities Sdn. Bhd., Pong Teng Siew turut memberikan pandangan yang serupa dan bersetuju bahawa kesan pengaliran keluar sudah mula berkurangan.

Berbanding dengan krisis kewangan 2013 yang menyaksikan pengaliran keluar asing daripada ekuiti tempatan sehingga mence­cah kira-kira RM11.8 bilion, tahap aliran keluar yang berlaku sekarang ini adalah hampir sama.

“Pengaliran keluar ini sudah mula beransur kurang dan saya tidak akan terkejut jika ia akan berhenti tidak lama lagi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, Malaysia memiliki ekuiti yang agak menarik dari sudut penilaian dan dengan nilai ringgit yang jelas sangat rendah.

“Oleh itu, para pelabur asing akan sentiasa tertarik untuk memasuki bursa tempatan.

“Satu-satunya, kebimbangan adalah mengenai prospek pendapatan di tengah-tengah ketidakpastian akibat perkembangan luar negara iaitu ketegangan perdagangan serta potensi kenaikan kadar di AS,” katanya.

Ketua Ahli Ekonomi MIDF Amanah Investment Bank, Dr. Kamaruddin Mohd. Nor dalam ulasannya mengenai prestasi ringgit memberitahu, mata wang tempatan itu telah melemah dan mencecah tahap psikologi pada paras 4.05, selepas menerima tekanan kenaikan dolar AS. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN