Penduduk bantah projek kuari Gua Kelambu - Utusan Malaysia

Penduduk bantah projek kuari Gua Kelambu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING 22 Julai – Kira-kira 300 penduduk dari tiga kampung mengadakan demonstrasi aman bagi membantah cadangan pembinaan kuari di sekitar Gua Kelambu, Gunung Pulai di sini, hari ini.

Mereka mewakili lebih 1,000 penduduk yang mendiami Kampung Pulai, Kampung Sungai Limau dan Kampung Dalam Wang.

Ketua demonstrasi berkenaan, Mohd. Fadil Omar, 42, mendakwa, cadangan projek itu diutarakan hampir 10 tahun lalu oleh wakil sebuah syarikat yang tidak diketahui oleh mereka secara terperinci.

“Kami membantah sekeras-kerasnya pembinaan kuari ini kerana ia akan menjejaskan dan merosakkan alam sekitar serta boleh memusnahkan aktiviti mencari pendapatan sampingan oleh penduduk kampung di sekitar kawasan ini,” katanya.

Bantahan itu turut diadakan bagi menyuarakan kebimbangan berhubung kesan kegiatan berkenaan terhadap lokasi-lokasi bersejarah di Gunung Pulai serta kawasan-kawasan berhampiran seperti Gua Harimau, Gua Sirih, Gua Kambing, Gua Tembus, Gua Ikan, Gua Haji Putih dan Gua Pari.

Penduduk turut mendakwa projek itu boleh mencemarkan sumber air bersih dari Sungai Ketil yang mengalir di kaki Gunung Pulai dan Gunung Baling.

Sementara itu, peserta demonstrasi, Norma Ahmad, 50, berkata, projek kuari yang dicadangkan tersebut hanya terletak kira-kira 100 meter dari rumahnya.

“Ia mendatangkan masalah kepada kami sekeluarga dan amat berbahaya jika letupan dilakukan di mana batu-batu berterbangan dan akan mengenai rumah atau sesiapa sahaja yang berada di sekitarnya.

“Selain itu, lori-lori kuari akan keluar dan masuk dari tapak projek melalui laluan berhampiran rumah saya dan keadaan ini boleh mendatangkan bahaya kepada kanak-kanak,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau amat berharap agar kerajaan negeri dan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, mengambil berat terhadap masalah penduduk kampung-kampung terbabit serta mengkaji semula kelulusan projek kuari berkenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN