Gabungan enjin, bateri BMW X5 xDrive 40e - Utusan Malaysia

Gabungan enjin, bateri BMW X5 xDrive 40e

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JIKA kita melihat pada reka bentuknya, sudah pasti ia hanyalah sebuah segmen SUV iaitu kenderaan utiliti sukan. Tetapi sebenarnya tidak kerana BMW menggelarkannya sebagai sebuah SAV iaitu kenderaan aktiviti sukan.

Itulah dia BMW X5 xDrive40e dengan pakej imej M sport. Kenapa digelar SAV? Kerana sebagai sebuah kereta yang terkenal dengan imej premium berharga lebih RM300,000 sebuah, sudah tentu anda tidak mahu membawa muatan durian berbakul-bakul atau ikan di dalamnya.

Melihat kepada reka bentuk­nya­, ia merupakan sebuah kenderaan yang besar dan tinggi. lampu utama menempatkan dua lampu bulat diapit dengan jeriji buah pinggang (kidney) yang meru­pakan signature BMW.

Lampu kabus diberi kelainan dengan ditempatkan di bahagian atas berbanding cara konvensional yang diletakkan di sebe­lah bawah. Jadi terdapat ruang kosong pada bampar bawah dan meninggalkan kesan janggal.

Lampu belakang pula berbentuk L dengan ekzos berbentuk segi empat ditempatkan pada bampar. Ini menghasilkan karakter yang unik pada X5.

Ruang dalamannya mewah dengan kerusi balutan kulit sepenuhnya. Suis bantuan pemanduan walaupun agak banyak, tetapi tidak merimaskan. Bumbung panaromik menghasilkan pencahayaan yang dinamik ketika pemanduan.

Yang lebih menarik ialah lampu Ambient pada konsol dan pintu sisi pemandu dan penumpang yang boleh ditukar warnanya kepada merah, biru, putih. Ia menghasilkan reaksi yang positif ketika memandu.

Paling menarik pada mo­del ini ialah enjinnya. BMW X5 xDrive40e ini adalah sebuah kenderaan plug-in hybrid (PHEV). Menggunakan enjin petrol 2 liter turbocaj bersama motor elektrik yang dikuasakan oleh bateri adalah ciri-ciri utama model ini.

Untuk enjin petrol, ia menghasilkan 242hp @ 5000-6000 rpm dengan kuasa kilas 350Nm @ 1250-4800 rpm. Manakala motor elektriknya pula menghasilkan kuasa maksimum 111hp @ 3170 rpm dan kuasa kilas 250Nm @ sifar rpm.

Gabungan kedua-dua itu menghasilkan 313hp dan kuasa kilas 450 Nm yang membolehkan pecutan 0-100 kilometer/sejam (km/j) dalam masa 6.8 saat de­ngan kelajuan maksimum dihadkan kepada 210 km/j. Kuasa ini disalurkan kepada keempat-empat roda melalui sistem pacuan xDrive.

Oleh kerana BMW X5 xDrive40e menggunakan kombinasi bateri dan petrol, adakalanya enjin tidak berbunyi ketika menghidupkannya. Banyak kali penulis tertipu dengan enjinnya sama ada telah dihidupkan atau tidak.

Gaya pemanduannya sama se­perti sebuah kereta dan tidak perlu ditakutkan pada saiznya yang besar. Cuma yang membataskan ialah keberanian dan sama ada anda adalah pemandu profesional atau amatur.

Oh ya, sebelum penulis terlupa, BMW X5 xDrive40e ini boleh dicaj menggunakan soket tiga pin di rumah. Ia seperti mengecas tele­fon bimbit di rumah. Caj pada malamnya, dan pandu di sebelah siang. Dan ketika ia bergerak, bateri akan di caj semula, cuma tidaklah sampai 100 peratus.

SPESIFIKASI BMW X5

Enjin: 2.0 Liter Turbocaj

Kuasa maksimum: 242hp @ 5000-6000 rpm (untuk enjin)

Kuasa maksimum: 111hp @ 3170 rpm (untuk motor bateri)

Kuasa kilas: 350Nm @ 1250-4800 rpm (untuk enjin)

Kuasa kilas: 250Nm @ sifar rpm. (untuk motor bateri)

Transmisi: 8 kelajuan Steptronic

Pecutan 0-100km/j: 6.8 saat

Kelajuan maksimum: 210 km/j

Penggunaan minyak: 3.3liter/100 km

Harga: RM366,837.10

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN