KUANTAN 22 Julai – Juara Liga Premier 2018, Felda United akan membuat persiapan awal untuk menghadapi kempen Piala Malaysia berikutan aksi kurang konsisten dipamerkan oleh anak-anak buah B. Sathianathan itu dalam mengharungi saingan liga.

Sathianathan berkata, beliau agak kecewa melihat corak permainan yang ditonjolkan oleh pemainnya selepas mencatatkan keputusan seri 2-2 ketika menerima kunjungan PDRM FC dalam aksi Liga Perdana di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka semalam.
“Ini antara masalah bagi kami kerana pemain gagal beraksi cemerlang apabila kita perlukan kemenangan terutama di tempat sendiri.
“Kita dikejutkan dengan dua gol awal oleh PDRM dan itu menunjukkan kelemahan ketara di bahagian benteng pertahanan sehingga gawang kami dibolosi dengan mudah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis penyerahan trofi Liga Premier dan penyampaian pingat kepada pegawai serta pemain Felda United di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka di sini malam semalam.
Menurut Sathianathan, ketiadaan Mohd. Syukor Adan di bahagian pertahanan memberi kesan kepada pasukannya apabila pemain itu direhatkan pada separuh masa pertama sebelum dimasukkan pada babak kedua untuk menggantikan Nor Fazley Alias.
“Jentera serangan kita juga kurang menyengat apabila gagal memanfaatkan banyak peluang yang terhidang di depan gol lawan,” ujarnya.
Beliau memberitahu, pemain perlu mengubah corak permainan untuk beraksi dalam saingan Piala Malaysia tidak lama lagi kerana mereka bakal berdepan pasukan dari Liga Super.
“Sasaran awal saya adalah fokus kepada aksi kumpulan terlebih dahulu kerana tidak tahu pasukan mana akan dihadapi dan persiapan awal perlu dilakukan bermula sekarang,” jelasnya.
Tambahnya, semua pemain tidak boleh dibuai mimpi setelah mendakap trofi Liga Premier sebaliknya perlu terus fokus di atas padang dengan corak permainan yang lebih baik.










