LONDON 22 Julai – Chelsea memberi amaran kepada Real Madrid bahawa mereka tidak rela dibuli mengenai isu penjualan Eden Hazard, walaupun dengan harga 170 juta pound (RM906 juta).
Bintang antarabangsa Belgium itu berada dalam senarai pemain yang dikehendaki Real dan difahamkan kelab gergasi Sepanyol tersebut bersedia membayar yuran perpindahan kedua termahal dalam sejarah bola sepak dunia bagi mendapatkan apa yang dihajati.
Namun, Blues tidak bersedia kehilangan perancang mereka itu dan menegaskan, pemain berkenaan masih memiliki baki kontrak selama dua tahun, dan mereka tidak boleh dipaksa memeterai perjanjian tersebut.
“Dia merupakan salah seorang pemain terbaik di Eropah. Saya berharap dapat membantu meningkatkan permainannya, tetapi tugas tersebut amat sukar kerana dia sendiri telah mencapai tahap yang sangat tinggi,” kata bos baharu Chelsea, Maurizio Sarri.
Bagaimanapun, selepas Belgium berjaya meraih kedudukan ketiga sewaktu melakar kemenangan ke atas England dalam aksi play-off pada Piala Dunia, Hazard menyatakan kesediaannya mencari cabaran baharu selepas enam tahun berada di London.
“Pasukan saya tahu destinasi pilihan saya,” kenyataan Hazard yang menyebabkan ramai mentafsirkan bahawa dia cuba menarik perhatian Real.
Namun, Chelsea percaya perjanjian baharu yang melibatkan bayaran gaji sebanyak 300,000 pound (RM1.59 juta) seminggu memadai buat pemain berusia 27 tahun itu kekal di Stamford Bridge dan merancang untuk mengadakan rundingan dengan Hazard dalam tempoh beberapa minggu lagi.
Sementara itu, masa depan rakan sepasukan Hazard dalam skuad Belgium, Thibaut Courtois, agak samar memandangkan kontrak penjaga gol tersebut hanya berbaki setahun.
Courtois dijangka berunding tentang masa depannya sebaik kembali daripada percutian selepas Piala Dunia, tetapi Courtois tidak berahsia apabila menyatakan hasratnya untuk kembali ke Madrid, di mana dia menghabiskan masa selama tiga tahun dengan Atletico Madrid dan mahu berada dekat dengan anaknya yang menetap di sana. – AGENSI










