DUNGUN 22 Julai – Mungkin sesuatu yang tidak diduga apabila tali bidai tingkap di rumah boleh menjadi perangkap maut bagi anak kecil mereka, namun itulah realiti bagi keluarga pasangan Zul Azri Hashim dan Nor Yasmin Mat Yasin.
Seorang daripada anak kembar pasangan itu, Muhammad Azhari yang berusia 20 bulan meninggal dunia petang semalam setelah terjerut tali bidai di rumah mereka di Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS), di sini kira-kira pukul 6.50 petang semalam.
Kejadian berlaku ketika mangsa yang sedang bermain bersama adik kembarnya dikatakan terjatuh dari sofa bersebelahan bidai berkenaan ketika ibunya, Nor Yasmin, 36, sedang menunaikan solat asar.
Jenazah anak ketiga daripada empat beradik itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Bandar Al Mukhtaffi Billah Shah selepas solat zuhur, namun pihak media ditegah oleh anggota keluarga terdekat daripada menemu bual ibu bapa mangsa yang masih dalam keadaan sedih.
Ketua Polis daerah, Superintenden Baharudin Abdullah ketika dihubungi memberitahu, mangsa kemudiannya disedari dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh ibunya yang bertugas sebagai pembantu tadbir di sebuah sekolah.
“Bapanya, Zul Azri, 39, yang bekerja dengan sebuah syarikat pembinaan bergegas pulang ke rumah setelah dimaklumkan berkenaan kejadian tersebut sebelum mengejarkan mangsa ke Klinik Kesihatan Bandar Al Mukhtafi Billah Shah yang terletak berhampiran,” katanya ketika dihubungi di sini.
Menurut Baharudin, pegawai perubatan yang membuat pemeriksaan mengesahkan bayi terbabit sudah meninggal dunia pada pukul 7.30 malam.
Ujarnya, jenazah mangsa kemudian dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut.
“Proses bedah siasat dilakukan pagi ini bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian itu dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” ujarnya.










