KOTA BHARU 22 Julai – Anak kepada seorang pegawai kastam yang maut dipercayai dirempuh tonto semasa menjalankan tugas dua tahun lalu tidak berputus asa menuntut keadilan ke atas kematian tersebut.
Afiq Luqman Baharudin, 24, berkata, pihak keluarganya amat kecewa apabila kes itu senyap tanpa sebarang berita walaupun sudah lama berlalu.
Menurutnya, dia akan terus berjuang bagi memastikan arwah ibunya, Anisah Ali (gambar) yang berkhidmat di Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) cawangan Rantau Panjang mendapat pembelaan dan penjenayah yang terlibat mendapat pembalasan.
“Saya akan memastikan mereka yang menyebabkan kematian arwah ibu dibawa ke muka pengadilan walaupun banyak cabaran perlu ditempuhi. Sejak saya mendedahkan kisah yang menimpa arwah ibu beberapa bulan lalu, kes ini seperti senyap kembali.
![]() |
|
ANISAH ALI
|
“Saya juga sudah merujuk kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan mereka sedang menjalankan siasatan lanjut. Saya berharap isu yang menimpa arwah ibu mendapat perhatian semua pihak dan tidak dibiarkan begitu saja,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Akhbar sebelum ini melaporkan, Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri Subromaniam Tholasy, mengesahkan akan mengadakan perjumpaan dengan Suhakam bagi membincangkan mengenai kes Anisah yang terbunuh dalam operasi mencegah penyeludupan berkenaan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd. pula menyifatkan siasatan kes pembunuhan Allahyarham Anisah tidak pernah dihentikan, ditutup atau ‘disenyapkan’ seperti yang didakwa sesetengah pihak.
Dalam kejadian pada pukul 1.25 pagi, 7 Oktober 2016 di Pasir Mas itu, kenderaan dinaiki Anisah bersama dua rakan sekerja dirempuh dari arah belakang dipercayai kenderaan tonto yang melindungi sindiket penyeludupan rokok.
Dalam pada itu, Afiq Luqman berkata, dia akan memastikan kes itu dibawa ke Parlimen dan berharap kerajaan Pakatan Harapan (PH) menegakkan keadilan buat arwah ibunya.
“Saya satu-satunya anak lelaki dan apa yang menimpa ibu saya akan diperjuangkan sehingga mereka yang bersalah menerima hukuman setimpal,” tegasnya.











