KUALA LUMPUR 22 Julai – Hampir separuh daripada 2,250 pekerja yang terlibat dalam Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) diberhentikan berikutan penggantungannya.
Sumber dari China Communications and Construction Company (CCCC) iaitu kontraktor utama projek tersebut memaklumkan, syarikat berkenaan tidak tahu bila penggantungan akan ditarik semula.
Sumber mendakwa, kebanyakan daripada mereka yang diberhentikan adalah pekerja tempatan dan hanya 30 peratus sahaja tenaga kerja melibatkan warga asing.
“Sesetengah pekerja dari China termasuk jurutera, kakitangan pentadbiran dan tukang masak sudah pulang ke tanah air bersama keluar untuk bercuti panjang.
“Baki pekerja lain termasuk beberapa orang pekerja tempatan masih menjalankan tugas di kem utama ECRL di Bentong, Pahang,” katanya seperti dipetik Agensi Berita Channel NewsAsia.
CCCC dilaporkan menerima arahan daripada Kementerian Kewangan untuk menghentikan projek ECRL pada 3 Julai lalu.
Menteri Kewangan. Lim Guan Eng menganggarkan projek itu akan menelan kos RM81 bilion selepas menambah kos pengambilan tanah, termasuk faedah pinjaman semasa pembinaan, iaitu lebih tinggi daripada kos asal RM55 bilion.
ECRL ditandatangani CCCC pada November 2016 dan dijangka beroperasi pada 2024, projek tersebut 85 peratus dibiayai oleh Exim Bank China, manakala baki 15 peratus lagi pembiayaan sukuk.
Media melaporkan, projek tersebut sudah 15 peratus siap dengan 20 peratus pinjaman telah digunakan.










