KULIM 30 Mei – Wanita yang kematian suami dan anaknya dalam tragedi banjir kilat di Kampung Baru Tambahan Sungai Kob di sini semalam trauma dan sedih menyebabkan dia dan dua anak yang terselamat belum bersedia untuk pulang ke mereka itu.
Menurut ibunya, Asnah Musa, 81, anaknya itu Che Yang Ton, 53, kini menumpang di rumah kakaknya di pekan Sungai Kob berikutan masih sedih dan tidak dapat melupakan kejadian tersebut.
“Sejak kelmarin (semalam) selepas proses pengkebumian suami dan anaknya di Masjid Jamek Al-Ittihad dekat sini, dia tidak mahu pulang ke rumahnya biar pun diajak berulang-kali untuk membersihkan kesan banjir kilat itu.
“Sebaliknya dia menumpang di rumah kakaknya, Kemariah di Taman Sepilai di pekan Sungai Kob dan rumah mereka yang terlibat dalam kejadian banjir itu masih terbiar dan tidak berpenghuni,” katanya ketika ditemui di rumahnya yang terletak kira-kira 200 meter dari rumah Che Yang.
Akhbar melaporkan banjir kilat yang melanda daerah ini sejak sembilan hari lalu meragut nyawa dua beranak yang ditemukan lemas selepas dihanyutkan arus deras dalam kejadian di Kampung Baru Tambahan, Sungai Kob, di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 1 pagi itu, mayat pesara tentera, Johari Bakar, 57, ditemukan pada pukul 9.56 pagi sementara anaknya, Nur Sari Danila , 14, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Kob ditemukan pada pukul 7.45 pagi dalam Sungai Karangan yang terletak beberapa kilometer dari rumah mereka.
Sementara Che Yang dan seorang anak lelakinya, Azim Hazrin, 22, yang turut berada di lokasi terselamat setelah berpaut pada pokok sebelum berjaya diselamatkan penduduk kampung. – UTUSAN ONLINE










