Usah kejar projek, jawatan – Ahmad Faizal - Utusan Malaysia

Usah kejar projek, jawatan – Ahmad Faizal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 30 Mei – Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu menegaskan bahawa beliau tidak akan menidakkan atau melupakan pendokong gerakan reformasi atau rakan-rakan yang telah berjuang dalam Pakatan Harapan selama berpuluh tahun menentang UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Ahmad Faizal berkata, setelah diangkat sebagai Menteri Besar, ramai kenalan lama mula mendekati­nya dan ia mungkin disa­lah guna sehingga menyebabkan pihak lain berkecil hati de­ngannya apabila melihat beliau bergambar serta dipeluk ketika cuba berbaik-baik dengan semua orang.

“Hari ini saya hendak beri pe­ngakuan bahawa saya adalah Menteri Besar daripada Pakatan Harapan. Saya tidak akan meni­dakkan perjuangan tuan-tuan. Pastilah kepada mereka yang baru sekarang hendak sedar diri, kita akan jumpa dan sambut macam biasa tetapi jasa pengorbanan orang-orang yang terlebih dahulu, saya tidak akan lupakan.

“Jadi, jangan berkecil hati kalau ada kawan-kawan yang sudah tersedar lambat sedikit, dia kena mula daripada bawah, tidak boleh tiba-tiba hendak dekat de­ngan Menteri Besar, hendak kejar projek dan sebagainya. Tidak ada dalam Pakatan Harapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis iftar perdana yang diadakan di Jalan Pemim­pin, Kampung Manjoi di sini, semalam dan turut dihadiri oleh Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal mengulangi kata-katanya bahawa pihaknya komited untuk melaksanakan segala janji dalam manifesto Pakatan Harapan pada tahun ini juga termasuk pemberian air percuma, dalam masa 100 hari pertama memerintah kerajaan negeri.

Namun begitu, beliau menjangkakan bukan semua perkara itu dapat dilaksanakan dengan cepat dan mudah kerana ia memerlukan sedikit momentum untuk merealisasikannya.

“Jadi, bukanlah dalam masa se­singkat ini kita hendak pecat sana pecat sini atau kita hendak laksa­nakan segala-galanya dalam sekelip mata. Semuanya akan mengambil sedikit masa,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN