Siasat pembinaan rumah PPRT terbiar - Utusan Malaysia

Siasat pembinaan rumah PPRT terbiar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG 30 Mei – Kerajaan diminta menyia­­sat pembinaan rumah di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang di­­lihat terbiar selepas siap tanpa ada penghuni.

Tinjauan mendapati, kejadian itu berlaku membabitkan bebe­rapa rumah PPRT yang terletak di tepi Jalan Sungai Asap-Limau Kasturi ditumbuhi lalang dan seolah-olah terbiar begitu saja tanpa ada sebarang pengawasan daripada mana-mana pihak.

Seorang penduduk, Muhammad Mansor Othman, 45, ketika ditemui berkata, agensi kerajaan yang membina rumah PPRT memberi bantuan kepada penduduk yang tidak menepati sasarannya.

Katanya, kemungkinan pemilik rumah terbabit sudah ada rumah lain yang lebih selesa dan pembinaan rumah PPRT itu hanya sekadar menerima tawaran.

“Perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana ramai lagi penduduk yang benar-benar memerlukan rumah itu.

“Kami hairan bagaimana ka­tegori pemilihan warga miskin untuk memperolehi rumah PPRT itu, kerana ramai lagi orang yang benar-benar layak tercicir mene­rima bantuan itu,” katanya.

Ayub Ahmad, 39, pula berkata, kejadian rumah PPRT terbiar itu me­nunjukkan pembaziran wang kerajaan.

Katanya, penerima yang layak harus menghargai bantuan kerajaan kerana kos pembinaannya mahal iaitu lebih RM40,000 seunit.

“Apa yang menjadi kebimba­ngan penduduk di sini, jika projek berkenaan terus terbiar ia mungkin akan mengundang masalah lain seperti kecurian barangan yang ada di dalamnya seperti wayar elektrik, pintu dan cermin tingkap.

“Selain itu, kawasan tersebut juga dikhuatiri menjadi sarang penagih dadah untuk melepaskan gian kerana ia sudah lama terbiar kerana pada waktu malam kawasan itu terlin­dung dan gelap,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN