Pertama kali kempen Terima Kasih diperkenalkan pada tahun lalu, ia mendapat respons positif daripada orang ramai. Justeru, kempen berkenaan diteruskan untuk kali kedua dalam menjayakan kempen Syukur Selalu anjuran Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad sepanjang bulan Ramadan dan Syawal.
Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad (MPTN), Johan Ishak berkata, tahun ini pihaknya menyediakan platform terbaik kepada penonton untuk mengekspresikan ungkapan terima kasih dalam bentuk perlakuan
“Tahun lalu kami mendidik orang ramai tentang kepentingan ungkapan terima kasih.
“Selain itu, MPTN mahu bersama-sama dengan penonton sepanjang bulan Ramadan dan Syawal dengan menyajikan pelbagai program hebat yang menghiburkan dan mendidik penonton agar menjadi insan yang sentiasa bersyukur dengan kurniaan Ilahi,” katanya.
Bagi menghiburkan penonton setia MPTN sepanjang bulan Ramadan dan Syawal, TV3 dan TV9 menghidangkan program-program baharu yang merangkumi genre drama, raudhah dan gaya hidup.
Saluran ntv7 sebagai saluran yang lebih hip dan segar tidak ketinggalan mengambil bahagian dalam kempen ini. Kempen Terima Kasih 2018 turut mendapat sokongan daripada Tonton, CJ Wow Shop dan Media Prima Digital.
Dalam pada itu, MPTN turut berkolaborasi dengan penyanyi Faizal Tahir untuk menghasilkan sebuah dokumentari muzik menerusi lagu ciptaan penyanyi berjudul Starfeather yang turut diangkat sebagai lagu tema kempen Terima Kasih tahun ini.
Duta TV3 dan TV9 terdiri daripada Amar Baharin, Amyra Rosli bersama putera comel mereka, Aqeef Anaqi di samping Izzue Islam, Farah Nabilah, Remy Ishak dan Puteri Aishah, manakala ntv7 diwakili oleh Erwin Dawson dan Azira Shafinaz.
Duta-duta itu memainkan peranan penting sebagai wajah menyampaikan mesej kempen Terima Kasih di kaca televisyen, papan iklan dan pesanan khidmat masyarakat. Mereka juga akan turut menjayakan aktiviti padang iaitu Bazar Terima Kasih, Jom Masjid dan Anggun Life.
Kerja amal
Berbeza dengan tahun lalu, tahun ini Bazar Terima Kasih dan Jom Masjid telah digabungkan dan diadakan pada hari yang sama. Menerusi Bazar Terima Kasih dan Jom Masjid, duta dan selebriti popular terlibat akan menjayakan pelbagai aktiviti untuk rumah-rumah kebajikan terpilih.
Sebelum mula operasi di bazar, mereka akan berkunjung ke rumah kebajikan terpilih bagi tujuan aktiviti amal dan beramah mesra dengan penghuni di situ. Kutipan jualan bazar akan disumbangkan terus ke rumah kebajikan terpilih di negeri yang dikunjungi.
Tarikh dan lokasi Bazar Terima Kasih yang pertama adalah di tempat letak kereta Amanjaya Mall, Sungai Petani, Kedah pada 26 Mei 2018, manakala lokasi seterusnya di Dataran 1 Malaysia Klebang, Melaka (2 Jun 2018).
Seiring dengan Bazar Terima Kasih, Jom Masjid akan berlangsung pula telah berlangsung pada 26 Mei 2018 di Masjid Andalusia, Bandar Laguna Merbok, Sungai Petani, Kedah. Lokasi kedua akan diadakan di Masjid Al-Aminin, Kampung Batang Tiga Timur Bukit Rambai, Klebang, Melaka (2 Jun 2018).
Tahun ini menyaksikan kolaborasi kedua antara MPTN dan Pavilion Kuala Lumpur. Elemen-elemen kempen Terima Kasih akan menghiasi segenap ruang legar Pavilion Kuala Lumpur. Selain itu, Pavilion juga akan menunaikan impian 1,000 orang kanak-kanak yang kurang bernasib baik di Malaysia.
Bagi memeriahkan lagi kempen, beberapa aktiviti juga akan diadakan di Pavilion seperti sesi ramah mesra drama mini Pelangi Cinta dan filem Pulang serta siaran langsung program bual bicara di ruang legar pusat beli-belah berkenaan.
Pada tahun ini, aplikasi mudah alih Raudhah masih mengekalkan fungsi #TerimaKasih bagi membolehkan pengguna menyampaikan kesyukuran dan penghargaan mereka atas rezeki yang diterima. Setiap mesej atau kisah yang dikongsi dan dipaparkan, RM1 akan disumbangkan ke Tabung Bersamamu.
Sempena Ramadan, CJ Wow Shop yang disiarkan di TV9 ini menggandakan rangkaian Aidilfitri dengan pelbagai jenama baharu kegemaran rakyat Malaysia serta menawarkan ganjaran percutian ke Turki kepada pelanggan dengan pembelian tertinggi.
Rangkaian barangan tersebut juga terdiri daripada koleksi kegemaran rakyat Malaysia yang sedia ada dan baharu, termasuklah Al-Mukarramah oleh Haqqi Muslim Wear, Ariani X WOW Muslimah Fashion, Mugen Tornado Hybrid Gas Cooker, Classe dan Raya Carpet.
Sementara itu, antara program menarik bersempena Ramadan di TV3 adalah drama rantaian seperti Halalkan Hati Yang Ku Curi, Teratai Kemboja, Nur, Solat, Patahnya Sebelah Sayap, Mama Terer Ke? dan Pelangi Cinta. Antara telefilem menarik pula seperti Qalbu Iman Ke Syurga, Ketupat Buat Nenek, Ayah, Cucu Atuk, Demi Hati Arjuna, Ghahim Takut Nak Azan dan Ketupat Untuk Ariana.
Saluran TV9 juga tidak ketinggalan menyajikan drama rantaian terbaik seperti Kisah Cinta, Cinta Jangan Pergi dan Nur Kasih. Menerusi saluran ntv7, banyak telefilem menarik akan dipertontonkan seperti Vlog Laura, Realiti Ramadan Mike, Cik Shopaholic serta Bulan Bintang Dan Sayang.










