Raja Dihilir berbuka puasa bersama penduduk di Bagan Datuk - Utusan Malaysia

Raja Dihilir berbuka puasa bersama penduduk di Bagan Datuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK 30 Mei – Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Almarhum Sultan Idris Shah berkenan berbuka puasa bersama kira-kira 1,000 penduduk di Kampung Sungai Batang, Rungkup, di sini hari ini.

Keberangkatan baginda disambut Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya dan ADUN Hutan Melintang, Datuk Khairuddin Tarmizi.

Hadir sama, Pegawai Daerah Bagan Datuk, Datuk Hamzah Husin dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Alam sekitar, Teknologi Hijau dan Penerangan negeri, Dr. Abdul Aziz Bari.

Sebelum berbuka puasa, baginda menyertai tahlil ringkas dalam majlis yang dimulakan dengan bacaan ayat suci al-Quran.

Baginda kemudian berbuka puasa dengan juadah kuih -muih sebelum menunaikan solat Maghrib secara berjemaah dan kembali bersantap dengan hidangan berbuka puasa.

Raja Iskandar Dzulkarnain berkenan menyampaian sumbangan zakat bagi kegunaan biaya pembangunan institusi dalam memartabatkan syiar Islam daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) negeri Perak berjumlah RM10, 000.

Sumbangan disampaikan oleh baginda kepada Pengerusi Masjid Ahmadiah Kampung Sungai Batang, Ahmad Zabaidi Saleh sambil disaksikan Pengurus Besar TNB negeri, Datuk Raja Abdul Jalil Raja Zaid.

Sebelum berangkat pulang, baginda bersalam bersama para penduduk yang hadir. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN