KUALA LUMPUR 30 MEI – Projek mengecat semula perumahan awam (PA) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di ibu negara bernilai RM180 juta dibatalkan
Perkara ini diputuskan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz semasa mesyuarat bersama ahli parlimen wilayah persekutuan hari ini.
Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai berkata, seramai 10 kontraktor dilantik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tanpa sebarang tender terbuka.
“Projek ini diluluskan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, semua kontraktor ini adalah kontraktor sama yang dilantik untuk kerja-kerja pengubahsuaian pejabat DBKL sebelum ini.
“Saya persoalkan mengapa kontraktor yang sama dilantik untuk projek ini,” katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat berkenaan.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosioekonomi DBKL, Ibrahim Yusoff berkata, bayaran hanya akan dibuat kepada kontraktor yang sudah menyiapkan kerja.
“Kerja-kerja mengecat semula PA dan PPR akan dibuat semula berdasarkan keputusan kerajaan pada masa akan datang.
“Bagaimanapun kerja-kerja mengecat yang sedang dijalankan akan diteruskan sehingga siap,” ujarnya.










