KUALA LUMPUR – Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) tidak akan mengambil bahagian dalam semua kejohanan peringkat antarabangsa selama setahun berkuat kuasa serta-merta, termasuklah Sukan Asia 2018 pada Ogos ini.
Keputusan mengejut itu diumumkan Presidennya, Datuk Ayub Rahmat sebagai mengambil tanggungjawab dalam usaha memulihkan semula imej persekutuan itu yang sebelum ini kerap dibelenggu masalah berkaitan doping.
Meskipun tidak menyertai kejohanan antarabangsa, Ayub berkata, segala langkah pengukuhan dari segi pembangunan latihan dan pemantauan prestasi atlet tempatan tetap diteruskan serta diperkasakan.
“PABM membuat keputusan untuk tidak menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa untuk tempoh setahun. Ia adalah tindakan wajar di waktu yang tepat.
“Walaupun kita tidak menyertai kejohanan antarabangsa dalam apa jua penyertaan, kita akan terus memperkukuhkan pembangunan latihan atlet tempatan. Kita akan memantau pembangunan atlet dan ia akan dilakukan secara berterusan,” katanya. – Bernama









