KUALA LUMPUR 30 Mei – Kerajaan diminta mempertimbangkan semula keputusan membatalkan pembinaan Projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) memandangkan ia memberi banyak manfaat kepada rakyat dalam melengkapkan jaringan pengangkutan awam di Lembah Kelang.
Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Law Teik Hua berkata, senario MRT3 berbeza dengan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dilihat berpatutan untuk dikaji semula kerana projek tersebut tidak mendapat permintaan tinggi.
“Saya bersetuju bahawa kita memerlukan kajian yang lebih mendalam tentang ECRL kerana dikhuatiri pulangan yang disasarkan tidak dapat dicapai.
“Namun demikian, projek MRT3 sangat diperlukan untuk pembangunan bandar di Lembah Kelang kerana bilangan kenderaan terus bertambah dan bertumpu di kawasan ini, menyebabkan kesesakan jalan raya yang serius,” katanya ketika dihubungi Utusan Online, di sini hari ini.
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan projek MRT3 tidak akan diteruskan dan projek ECRL pula akan dikaji semula sebelum apa-apa keputusan berkenaan dengannya dibuat.
Dr. Mahathir juga memberitahu keputusan pembatalan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) yang diumumkan semalam akan bergantung kepada perbincangan bersama kerajaan Singapura.
Mengulas lanjut, Teik Hua berpendapat, jaringan pengangkutan awam yang masih belum lengkap di Lembah Kelang menyebabkan pengguna kenderaan seperti kereta dan motosikal tidak berminat untuk beralih kepada pengangkutan awam.
Oleh itu, kata beliau, pembatalan projek MRT3 yang sepatutnya melengkapkan jaringan pengangkutan awam di Lembah Kelang akan menyukarkan usaha kerajaan untuk melahirkan masyarakat bandar yang lebih mesra pengangkutan awam.
“Kerajaan tidak akan mampu menampung pertambahan bilangan kereta dengan membina dan melebarkan jalan raya, masyarakat perlu ubah tabiat mengembara mereka dengan beralih kepada pengangkutan awam,” katanya.-UTUSAN ONLINE









