PADANG BESAR 30 Mei – Kerajaan diminta mempertimbangkan untuk membina pagar baharu yang lebih kukuh di kawasan sempadan Bukit Kayu Hitam, Kedah sehingga Padang Besar di sini.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, langkah itu penting bagi mengelak kawasan sempadan ini mudah diceroboh dengan aktiviti penyeludupan dan jenayah rentas sempadan lain.
Beliau berkata, pihaknya difahamkan keadaan pagar di kawasan sejauh 29 kilometer (km) dari Bukit Kayu Hitam sehingga Padang Besar sudah uzur serta berlubang sekali gus menyebabkan aktiviti penyeludupan ini berleluasa.
“Ada kawasan pagar di sini yang telah usang dan dalam keadaan cukup teruk. Kita menyeru dan memohon kepada kerajaan supaya melihat perkara ini. Keadaan seperti ini (pagar usang dan berlubang) akan menyebabkan pencerobohan mudah berlaku.
“Dalam masa sama, kawalan pihak berkuasa akan bertambah rumit. Dengan adanya pagar baharu yang lebih kukuh, akan memudahkan kita menjalankan tugas dengan lebih kemas dan sempurna,” katanya kepada pemberita selepas meninjau tugas anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang terlibat dengan Op Wawasan di Pos TS 11, di sini hari ini.
Dalam masa sama, beliau turut meluangkan masa berbuka puasa dengan para anggota di Pos sempadan BKC 7.
Sebelum ini, Utusan Malaysia sentiasa konsisten mendedahkan mengenai aktiviti penyeludupan di sempadan negeri ini termasuk pernah melaporkan mengenai keadaan pagar yang berlubang di kawasan itu sehingga memudahkan kegiatan penyeludupan seperti daum ketum dan pendatang asing tanpa izin (PATI).
Untuk rekod, pagar tersebut dibina pada tahun 1985 bagi mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan.
Dalam perkembangan lain, Zulkifli berkata, sejak Januari sehingga April lalu, PGA telah merampas pelbagai barangan di kawasan sempadan Perlis, Kedah dan Kelantan dengan nilai lebih RM1.3 juta.
Katanya, rampasan itu meliputi senjata api, daum ketum dan pelbagai lagi barangan lain dengan membabitkan 167 tangkapan.
“Kejayaan ini cukup membanggakan dan anggota yang bertugas akan terus menjalankan tanggungjawab dalam mengekang aktiviti penyeludupan ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE










