KUALA LUMPUR 30 Mei – Peniaga di sekitar Jalan Masjid India dan Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini kecewa dengan tindakan pemilik premis perniagaan yang menaikkan sewa berlipat kali ganda sehingga mencecah RM100,000 sebulan.
Utusan Malaysia difahamkan, walaupun kadar harga sewa semasa bagi premis perniagaan di situ adalah sekitar RM30,000 hingga RM 50,000 sebulan, ada pemilik yang sanggup menaikkan harga sewa semaksimum mungkin kerana kerana tahu ada yang sanggup membayarnya.
Keadaan itu menyebabkan sebahagian daripada peniaga tempatan yang dahulu mencari rezeki di kawasan itu semakin tertekan sehingga ramai yang terpaksa ‘menyerah kalah’ dan akhirnya berpindah ke kawasan perniagaan lain.
Lebih mengejutkan juga, kira-kira 90 peratus premis di pusat membeli-belah ibu kota itu dimiliki warga asing seperti Singapura, Bangladesh, India dan Pakistan.
Menurut peniaga, Abd. Rahim Ismail, 59, pemilik premis biasanya menaikkan harga sewa setiap kali kontrak perjanjian diperbaharui dengan mengambil kira anggaran kadar kenaikan pada setiap tahun.
“Contohnya, jika pemilik menganggarkan kenaikan sekitar RM10,000 setahun, kontrak akan diperbaharui dengan tambahan RM30,000.
“Walaupun harga sewa premis dipersetujui melalui budi bicara antara penyewa dan pemilik, ia kadang-kala melampau sehingga mencecah harga RM100,000 untuk kedai di tingkat bawah,” katanya.
Abd. Rahim memberitahu, untuk menanggung bayaran sewa yang semakin meningkat, beliau terpaksa bekerja keras dan bernasib baik kerana mempunyai sumber kewangan daripada perniagaan lain.
Sementara itu, Presiden Persatuan Peniaga dan Penjaja Bumiputera Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Seri Rosli Sulaiman memberitahu, tekanan dan beban harga sewa premis yang tinggi menyebabkan peniaga tempatan semakin terpinggir di syurga barangan tekstil itu.
Katanya, keadaan itu memberi lebih peluang kepada warga asing menguasai perniagaan kerana mempunyai modal perniagaan yang jauh lebih besar.
“Sekitar tahun 2000, kawasan Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Masjid India masih dikuasai peniaga warga tempatan namun ramai yang tepaksa berpindah ke tempat lain kerana tidak mampu membayar sewa selain terpaksa bersaing dengan tawaran harga yang tinggi oleh peniaga warga asing,” katanya.










